ad
AGENDA

Seorang patah kaki, enam selamat dalam kejadian kepala air

11 Mei 2025, 2:51 PM
Seorang patah kaki, enam selamat dalam kejadian kepala air

SHAH ALAM, 11 MEI: Seorang lelaki patah kaki manakala enam lagi selamat dalam kejadian kepala air di Jalan Gombak Lama, Batu 12 di sini, petang tadi.

Difahamkan, kesemua mangsa iaitu empat lelaki dan tiga perempuan berusia 15 hingga 31 tahun itu sedang beriadah di kawasan berkenaan apabila berlaku kepala air yang menyebabkan empat daripada mereka dihanyutkan arus dan tiga terperangkap, lapor portal Berita Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada 5.45 petang.

Katanya, sebuah jentera Balai Bomba dan Penyelamat Selayang membabitkan kekuatan enam pegawai serta anggota dihantar ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, pasukan mendapati empat mangsa dihanyutkan arus kepala air dan diselamatkan oleh orang awam di kawasan tebing sungai manakala tiga mangsa yang terkandas diselamatkan oleh pasukan bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami kecederaan patah kaki dan enam lagi tidak cedera.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat, sebelum operasi ditamatkan tidak lama kemudian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.