SHAH ALAM, 11 MEI: Gegaran akibat gempa bumi sederhana yang melanda Utara Sumatera, Indonesia petang tadi dirasai di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) gempa berukuran magnitud 5.9 pada skala Richter berlaku pada jam 4.57 petang dengan kedalaman 74 kilometer, berpusat kira-kira 107 kilometer tenggara dari Meulaboh, Indonesia.
“Tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian ini. Namun, gegaran dirasai di kebanyakan kawasan di Pantai Barat Semenanjung,” maklum agensi itu di Facebook.
MetMalaysia turut memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi dan perkembangan semasa.
Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa ini diminta mengisi borang soal selidik yang disediakan di pautan https://forms.gle/E9ursS9Cs5KoKPt47 bagi membantu pemantauan lanjut.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri itu menerima dua laporan gegaran susulan gempa bumi sederhana yang melanda utara Sumatera, Indonesia itu.
Pengarahnya Mohamad Shoki Hamzah berkata gegaran dilaporkan di Blok 1, Taman Selatan, Jelutong dan Hotel City Bayview sekitar jam 5.15 petang, lapor Sinar Harian.
“Tiada kerosakan struktur dilaporkan dan situasi adalah terkawal. Pemeriksaan keselamatan dilakukan anggota dari BBP Jalan Perak dan BBP Lebuh Pantai,” katanya.