SUBANG JAYA, 11 MEI: Empat mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights yang kediamannya mengalami kerosakan teruk mendapat perhatian pertubuhan latihan organisasi, AsiaWorks Malaysia.
Wakilnya Kaijing Yeong berkata dana berjumlah RM11,000 itu merupakan sumbangan peribadi beberapa pihak yang prihatin dengan nasib menimpa mangsa.
[caption id="attachment_700571" align="alignleft" width="408"] Wakil AsiaWorks Malaysia, Kaijing Yeong.[/caption]
“Biarpun mangsa ada menerima pelbagai bantuan daripada beberapa pihak, mereka masih lagi terkesan dengan insiden menimpa dan kerugian dialami tidak terkira.
“Kita berharap dengan bantuan diberikan dapat meringankan mereka dan digunakan untuk baik pulih kediaman atau keperluan lain,” katanya ditemui pada majlis penghargaan bersama bomba di Balai Bomba Subang Jaya hari ini.
Terdahulu, dalam majlis tersebut, pasukan bomba dari balai Subang Jaya yang terlibat dalam menjaga keselamatan mangsa di Putra Heights diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan khidmat bakti.
Dalam pada itu, mangsa Raja Shyra Raja Haris, 56, berkata beliau amat menghargai sumbangan diberikan pelbagai pihak dalam membantu meringankan bebannya sekeluarga.
[caption id="attachment_700573" align="alignright" width="418"] Mangsa kebakaran Putra Heights, Raja Shyra Raja Haris[/caption]
“Buat masa ini, saya menyewa di Kelana Jaya dan semua barangan di rumah kini diletakkan di gudang di Shah Alam selama empat bulan dengan kadar sewaan RM10,000.
“Bumbung rumah rosak teruk… saya dan suami memutuskan untuk menyewa gudang bagi menempatkan semua barangan yang masih boleh digunakan sementara rumah belum dibaiki,” katanya.
Sementara itu, penyelaras pasukan bomba Subang Jaya Ismail Yusof yang mewakili semua anggota bersyukur dengan penghargaan yang diberikan kepada mereka.
“Anggota bomba juga manusia biasa cuma kami hanya menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaiknya terutama dalam membantu mereka yang berdepan dengan insiden.
“Alhamdulillah, tiada kemalangan serius sepanjang bertugas di Putra Heights cuma ada empat anggota mengalami melecur di bahagian telinga dan tengkuk,” katanya.
[caption id="attachment_700575" align="aligncenter" width="680"] Penyelaras pasukan bomba Subang Jaya, Ismail Yusof.[/caption]