SHAH ALAM, 11 MEI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menganjurkan taklimat berhubung kejadian banjir bagi memastikan penduduk mendapat maklumat tepat dari agensi bertanggungjawab.
Wakil rakyatnya S Preakas berkata program turut memberi peluang kepada penduduk terutama yang mendiami Seri Muda dan Kota Kemuning untuk bertanya soalan seterusnya mendengar penjelasan lanjut.
Beliau menjelaskan, segala penerangan dan jawapan terutama berkaitan inisiatif mitigasi banjir dan cara mengatasinya diterangkan wakil Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Bandaraya Shah Alam.
“Ini merupakan usaha kita memberi kefahaman kepada penduduk kerana kebelakangan ini banyak informasi tidak benar tersebar.
“Hari ini mereka mendapat maklumat sahih. Mereka dimaklumkan tentang tindakan dan cara atasi banjir dilakukan kerajaan. Dengan cara ini penduduk dapat jawapan terus,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, majlis berlangsung di Dewan Azalea di Seksyen 25, dekat sini dihadiri kira-kira 200 penduduk.
Pada 2021, Taman Sri Muda antara lokasi yang ditenggelami banjir besar ekoran taburan hujan luar biasa mencecah 300 hingga 400 dalam tempoh 24 jam.
Berikutan itu pelbagai langkah diambil termasuk pemasangan tiga unit pam sebagai tambahan kepada tiga pam sedia ada yang berkapasiti 5,100 liter sesaat serta berupaya mengepam keluar lima kali ganda air.
Pam berkenaan yang kos pemasangannya membabitkan kos RM7.1 juta juga mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah.
Bagi perancangan jangka panjang, sebanyak empat ban baharu dibina selain menaik taraf dua kolam takungan dan membuat pengorekan saliran utama dijangka berjalan hingga Januari 2027.
Kapasiti kolam takungan Taman Sri Muda pula ditingkat daripada 140,000 kepada 221,000 meter persegi selain menyediakan kolam takungan Kemuning pada kapasiti 26,000 meter persegi.
Kerja pengorekan juga akan dibuat mulai Oktober hingga Disember tahun ini bertujuan meningkatkan lagi kapasiti saliran ke kolam Taman Sri Muda.