ad
AGENDA

Perbuatan khianat, kenderaan pejabat wakil rakyat Sri Gading rosak

11 Mei 2025, 9:06 AM
Perbuatan khianat, kenderaan pejabat wakil rakyat Sri Gading rosak

BATU PAHAT, 11 MEI: Sebuah kenderaan rasmi milik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sri Gading dilaporkan dirosakkan oleh individu tidak dikenali, pagi semalam.

Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan berkata kejadian terbabit berlaku sekitar 11 pagi apabila kenderaan jenis Toyota Estima yang diparkir berhampiran pejabat wakil rakyat tersebut telah dipecahkan dan dirosakkan oleh suspek yang menaiki motosikal.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor berkata pegawai yang bertugas di pejabat itu cuba mengejar pelaku namun gagal, tetapi berjaya merekodkan nombor pendaftaran motosikal suspek.

“Pihak kami kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Yong Peng dan difahamkan polis telah membuat tangkapan.

“Saya berharap insiden seperti ini tidak berlaku lagi terutamanya kepada pimpinan politik dan menyeru semua pihak dapat berpolitik dengan matang dan jika terdapat masalah perlu berbincang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata satu tangkapan telah dibuat pada hari sama sekitar 3 petang di sebuah rumah di Tongkang Pechah, dekat sini.

“Suspek berusia 37 tahun telah ditahan dan polis turut merampas kenderaan, pakaian dan peralatan yang digunakan semasa perbuatan itu.

“Suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 15(1)(e) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Shahrulanuar berkata suspek kini direman empat hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.