ad
AGENDA

Yayasan Peneraju sedia bantu lepasan SPM B40 lanjut pengajian

10 Mei 2025, 12:00 PM
Yayasan Peneraju sedia bantu lepasan SPM B40 lanjut pengajian
Yayasan Peneraju sedia bantu lepasan SPM B40 lanjut pengajian
Yayasan Peneraju sedia bantu lepasan SPM B40 lanjut pengajian

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

PORT DICKSON, 10 MEI: Lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang meraih keputusan cemerlang mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang profesional.

Naib Presiden Pejabat Transformasi Yayasan Peneraju Mohamad Syakir Mohd Sarib berkata sebagai agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Yayasan Peneraju sedia membantu golongan muda menyambung pengajian melalui skim bantuan pembiayaan fleksibel yang ditawarkan.

“Yayasan Peneraju tidak meletakkan syarat ketat, khususnya dari segi pendapatan isi rumah untuk membuat permohonan skim bantuan pembiayaan fleksibel yang ditawarkan ini.

[caption id="attachment_700422" align="aligncenter" width="677"] Naib Presiden Pejabat Transformasi, Yayasan Peneraju Mohamad Syakir Mohd Sarib memberi penerangan kepada peserta ketika program Jom Explore! Why Not YP? di Pusat Konvensyen Ehsan, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 10 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Ini bermakna, sesiapa sahaja yang berminat boleh memohon untuk menikmati manfaat skim ini bagi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut menjelaskan, Yayasan Peneraju memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada lepasan SPM mengenai kursus yang ditawarkan serta prospek kerjaya dalam pelbagai industri, sekali gus membantu mengatasi isu pengangguran dalam kalangan graduan muda.

Program jelajah Jom Explore! Why Not YP? diteruskan di Pusat Konvensyen Ehsan, Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini dengan sambutan menggalakkan apabila lebih 500 lepasan SPM hadir untuk merebut peluang pengajian melalui skim pembiayaan tersebut.

Skim bantuan tersebut terbuka kepada warganegara Bumiputera Malaysia berusia 16 tahun ke atas dengan tiga pilihan merangkumi Silver: pembiayaan sehingga RM15,000; Gold sehingga RM30,000; dan Platinum (sehingga RM150,000).

Selain itu, golongan dewasa yang sedang bekerja turut berpeluang menyambung pengajian melalui Skim Pembiayaan Pensijilan dalam usaha meningkatkan kemahiran dan kepakaran, terutamanya dalam bidang teknologi seperti Keselamatan Siber dan Perkomputeran Awan.

Pendaftaran bagi program Jom Explore! Why Not YP? masih dibuka bagi kawasan Terengganu, Sabah dan Sarawak yang akan diadakan pada 18 Mei depan dan orang ramai boleh layari https://tinyurl.com/234p63n7 untuk maklumat lanjut.

[caption id="attachment_700424" align="aligncenter" width="672"] Peserta program Jom Explore! Why Not YP? menunggu giliran sebelum ditemuduga oleh Pegawai Kementerian Ekonomi di Pusat Konvensyen Ehsan, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 10 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.