SHAH ALAM, 10 MEI: Dato’ Seri Amirudin Shari akan mempertahankan jawatan naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) pada pemilihan penggal 2025/2028 ini.
Beliau yang juga pengerusi majlis pimpinan Selangor berkata hasrat berkenaan sejajar dengan prinsip memperkukuh parti, paksi reformasi dan teras Kerajaan Perpaduan.
Membawa tema kempen ‘Reformasi Cita Bangsa’, beliau berkata gagasannya sejajar dengan tema dibawa calon timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar iaitu ‘Bersama Membina Parti Kita’.
“Insya-Allah dalam tempoh kempen ini saya akan mengulas dan membentangkan gagasan Reformasi Cita Bangsa ini kepada seluruh anggota KEADILAN.
“Dengan penuh rendah hati, saya memohon sokongan dan dukungan para anggota KEADILAN dalam perjuangan ini,” katanya menerusi kenyataan.
Dato’ Menteri Besar berkata pemilihan ini bertujuan membentuk pasukan yang berkeupayaan melaksanakan reformasi serta berkhidmat dan mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penggal kedua.
Katanya pemilihan kali ini juga menyaksikan peluang memperkukuh serta memperkemas saf kepimpinan parti menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.
“Kita ingin perligat gerak jentera serta merapatkan saf anggota disamping memperkuat hubungan bersama parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk menyusun langkah memenangi PRU ke-16,” katanya.
Amirudin dilihat sebagai antara tokoh utama dalam parti dan menjadi wajah Kerajaan Perpaduan di Selangor. Pengaruh beliau terus mengukuh selepas berjaya mempertahankan Selangor dalam Pilihan Raya Negeri 2023.
Selain Amirudin, jawatan berkenaan turut ditandingi 11 calon lain termasuk penyandangnya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan).
Calon ialah ialah Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), R. Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat), Dr Sathia Prakash Nadarajan (Ketua Cabang PKR Hulu Selangor), Abun Sui Anyit (Ketua Cabang PKR Hulu Rajang/Ahli Dewan Negara), Hee Loy Sian (bekas EXCO Selangor), Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara) dan Manivanan Gowin (Ketua Cabang PKR Jempol).
Pada pemilihan KEADILAN 2022, Amirudin memperoleh 46,075 undi, jumlah tertinggi dalam kalangan empat naib presiden.
Pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan 251 calon menawar diri merebut tempat dalam senarai pimpinan peringkat pusat termasuk sayap wanita dan angkatan muda KEADILAN (AMK) pada pemilihan berlangsung 23 Mei ini.
Pemilihan bermula 8 pagi hingga 5 petang dijalankan menerusi dua kaedah iaitu secara pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.
Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dilaksanakan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.