KUALA LUMPUR, 10 MEI: Penggiat sastera Dr Fahd Razy yang dilantik sebagai ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berazam membawa suara penyair muda ke pentas perdana.
Terkenal kerap mengadakan bengkel dan sayembara, beliau yang menjadi antara ahli lembaga paling muda sedia memainkan peranan sebagai jambatan antara kelompok itu dengan institusi tersebut.
"Mungkin dengan kehadiran saya, boleh membawa suara penulis muda, suara penerbit buku,
golongan penulis yang suaranya selama ini tidak sampai.
"(Ini) mungkin sebab mereka tidak menyertai persatuan, tidak ikuti acara rasmi, hanya berlegar sesama mereka. Saya boleh bantu salurkan suara mereka," katanya.
[caption id="attachment_700339" align="aligncenter" width="1102"] Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada Abdullah Hussaini (kiri) dalam majlis penyampaian Hadiah Puisi T Alias Taib II di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Mei 2025. Foto ihsan rumah penerbitan Kata Pilar[/caption]
Semalam, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Anwar Ridhwan mengumumkan Fahd Razy atau nama sebenar Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy sebagai ahli selama tiga tahun mulai bulan ini.
Pengumuman itu dibuat dalam majlis penyampaian Hadiah Puisi T Alias Taib II di Menara DBP. Dr Fahd Razy adalah pengasas rumah penerbitan Kata Pilar yang menganjurkan hadiah tersebut. Hadir sama, Pengurus Penerbitan Kata Pilar Mohd Rasydan Fitri Mohd Baharin.
Bergiat sejak tahun 2000, Dr Fahd Razy banyak memenangi pelbagai sayembara meliputi genre novel, cerpen, esei dan puisi pada peringkat negeri mahupun kebangsaan.
Menjawab soalan, beliau menolak tanggapan penulis muda terpisah dari DBP sebaliknya ada penulis lebih gemar mengadakan kegiatan kreatif tanpa penglibatan mana-mana institusi.
"Mungkin ada sebahagian muda dapat dicapai DBP tetapi sebahagian lain tidak berminat untuk terlibat dalam kegiatan rasmi. Mereka buat kelompok sendiri, berkumpul sesama sendiri.
"Cuma dengan adanya DBP, sedikit sebanyak ia dapat membantu (kegiatan atau penulisan) mereka," katanya.
Terdahulu, Anwar yang juga sasterawan negara menyampaikan hadiah kepada pemenang utama Haniff Zikri melalui kumpulan puisi berjudul Nama Pertama Untuk Duka.
Turut menang, Hidayyah AT Mizi melalui naskhah Dendam Perempuan Api kepada Bara, A.A Zailiani (Cuaca di Negeri Tubuh) dan Abdullah Hussaini (Pecah & Lupa).
[caption id="attachment_700340" align="aligncenter" width="1126"] Sasterawan Negara Dr Anwar Ridhwan (tengah) bersama empat pemenang Hadiah Puisi T Alias Taib II di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Mei. 2025. Foto ihsan rumah penerbitan Kata Pilar[/caption]