KUALA LUMPUR, 9 MEI: Mayat bayi yang masih belum dikenal pasti jantina ditemukan terapung di sebatang sungai di belakang sebuah restoran di Jalan Klang Lama di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan berhubung perkara itu sekitar 3 petang melalui panggilan kecemasan MERS999.
“Susulan itu, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
“Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengangkat mayat dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan PGO JPBM Kuala Lumpur.
Sementara itu, Komander Operasi Sahruddin Mat Noor ketika dihubungi Bernama berkata mayat bayi malang tersebut dipercayai hanyut sebelum ditemukan tersangkut di sungai terbabit.
“Jantina bayi itu tidak dapat dikenal pasti kerana keadaannya yang kurang sempurna,” katanya.
-BERNAMA