ad
AGENDA

Nurul Izzah sah lawan Rafizi bagi jawatan timbalan presiden

9 Mei 2025, 10:39 AM
Nurul Izzah sah lawan Rafizi bagi jawatan timbalan presiden

SHAH ALAM, 9 MEI: Nurul Izzah Anwar mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) manakala penyandang Rafizi Ramli mempertahan jawatan tersebut.

"Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, izinkan saya, Nurul Izzah Anwar, menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden KEADILAN 2025-2028.

"Sekiranya perwakilan KEADILAN merasakan saya sesuai untuk menggalas tanggungjawab dan amanah besar ini, Insya-Allah, saya akan berusaha melakukan yang terbaik demi KEADILAN," katanya di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut disebut-sebut bertanding jawatan berkenaan belum ada dalam senarai laman web rasmi pencalonan setakat jam 6 petang.

Pencalonan berakhir jam 12 tengah malam ini.

Semalam, Rafizi menyatakan pendirian untuk mempertahan jawatan tersebut sekali gus menyifatkan pertandingan dalaman adalah ruang memperkukuh parti, bukan memecahkannya.

“Jika saya dipilih, saya boleh terus memainkan peranan dalam kepimpinan parti sebagai timbalan presiden, dan dalam kerajaan melalui saluran kerajaan.

“Jika saya tidak dipilih, saya boleh kembali sebagai seorang pemimpin akar umbi yang lincah berkempen di bawah,” katanya di Facebook.

Meskipun dijangka sengit, saingan bagi jawatan itu selama ini tidak mengakibatkan perpecahan dalam parti berikutan calon yang tewas diberi jawatan lantikan tertentu dalam KEADILAN.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.