ad
AGENDA

Polis gagalkan sindiket pemerdagangan, 85 mangsa termasuk kanak-kanak diselamatkan

9 Mei 2025, 9:15 AM
Polis gagalkan sindiket pemerdagangan, 85 mangsa termasuk kanak-kanak diselamatkan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan 85 individu termasuk warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dalam Op Pintas Mega di seluruh negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata mereka terdiri daripada 58 lelaki, 10 wanita,16 kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

Beliau berkata antara yang diselamatkan mengikut Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 itu adalah rakyat asing yang terdiri daripada warga Filipina, Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan Myanmar.

“Kebanyakan mereka disyaki menjadi mangsa pemerdagangan orang bagi tujuan eksploitasi buruh paksa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata dalam operasi berkenaan pihaknya turut menahan 175 individu, termasuk warga asing dari Thailand, India, Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar, Nepal dan China.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12 & 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 55b, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan 14 kontinjen polis seluruh negara dan turut disertai Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.