ad
AGENSI

Ekspo Osaka rancak promosi Tahun Melawat Selangor, pikat pelancong luar

9 Mei 2025, 7:58 AM
Ekspo Osaka rancak promosi Tahun Melawat Selangor, pikat pelancong luar
Ekspo Osaka rancak promosi Tahun Melawat Selangor, pikat pelancong luar
Ekspo Osaka rancak promosi Tahun Melawat Selangor, pikat pelancong luar

OSAKA, 9 MEI: Penyertaan Tourism Selangor dalam Pavilion Malaysia sempena Ekspo Osaka Kansai 2025 mengukuhkan lagi promosi tahun melawat negeri, sekali gus menarik minat pelancong Jepun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Chua Yee Ling berkata pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pengunjung yang berminat terhadap produk pelancongan yang ditawarkan di Selangor.

Beliau turut yakin kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang rancak dilaksanakan ketika ini membantu misi mencapai sasaran lapan juta pengunjung dan rekod resit pelancongan RM11.7 bilion.

[caption id="attachment_700262" align="alignleft" width="721"] Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling bercakap bercakap kepada Media Selangor selepas Forum Membina Masa Depan Berdaya Tahan: Teknologi Hijau ketika pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 9 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Sejak dua minggu pertama ekspo dunia dianjurkan, ia menarik kedatangan sejuta pelancong, justeru penyertaan Tourism Selangor di sini sangat membantu,” katanya kepada Media Selangor.

Pada masa sama, Yee Ling berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan pemain industri Jepun untuk program pertukaran budaya bagi meningkatkan kedatangan pelancong dari negara matahari terbit itu.

Katanya, usaha dibuat termasuk sesi dialog perniagaan ke perniagaan (b2b) bersama pemain industri dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam ekspo Osaka.

[caption id="attachment_700260" align="aligncenter" width="772"] Pengunjung di Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 9 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“(Hasilnya), agensi pelancongan di tiga daerah Jepun bersetuju menjadi sister city (kampung angkat) di Selangor untuk bersama dalam program pertukaran kebudayaan,” tambahnya.

Selangor menyertai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk pengajuran pameran Pavilion Malaysia dalam ekspo dunia yang melibatkan penyertaan 161 negara.

Program selama seminggu itu menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.