SHAH ALAM, 9 MEI: Penyokong Selangor FC meluahkan rasa terkejut terhadap keputusan polis yang mengklasifikasikan siasatan kes simbahan asid ke atas Faisal Halim sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Ketua Editor Vocket FC, Misdianto Mik'a berkata Faisal sudah menghadapi ujian hebat termasuk hampir kehilangan masa depan, menyifatkan keputusan itu tidak adil terhadap pemain sayap berkenaan.
“Sebagai penyokong sudah pasti sangat terkejut dan rasa tidak adil kerana Faisal sudah pun hadapi satu situasi yang menyedihkan yang belum pernah berlaku kepada mana-mana pemain negara ini.
“Saya rasa keputusan NFA ini juga akan membangkitkan banyak isu terutamanya daripada segi soal keselamatan,” katanya kepada Media Selangor.
Misdianto yang juga pengulas sukan menambah, insiden simbahan asid yang berlaku terhadap Faisal merupakan antara penyebab sambutan kurang memberangsangkan peminat terhadap industri bola sepak pada musim lalu.
Malah, katanya, dengan keputusan pihak polis itu dijangka menambahkan lagi rasa tidak puas hati dan kepercayaan peminat khususnya kepada pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL).
“MFL dan pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab yang lebih besar lagi untuk mengembalikan kepercayaan peminat terhadap bola sepak negara,” katanya.
Semalam, Firma guaman Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co yang mewakili Faisal, memaklumkan kes simbahan asid pemain kelahiran Pulau Pinang itu diklasifikasi sebagai NFA.
Menurut mereka, keputusan itu dibuat kerana polis tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek dalam serangan tersebut.
Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023, disimbah asid oleh individu tidak dikenali di pusat beli-belah di Kota Damansara.
Akibat serangan itu, Faisal mengalami lecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuh dan terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan serta rawatan fisioterapi yang panjang.