ad
AGENDA

PM: Malaysia sedia jadi peneraju ekonomi digital global

8 Mei 2025, 1:52 PM
PM: Malaysia sedia jadi peneraju ekonomi digital global

KUALA LUMPUR, 8 MEI: Malaysia bersedia menjadi peneraju dalam ekonomi digital global dengan adanya kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia, Kementerian Digital, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secara bertanggungjawab dan progresif.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan hari ini bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI, satu entiti penasihat strategik yang akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi seterusnya berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.

"Teknologi aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara," katanya.

Perdana Menteri berkata antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Penasihat Aset Digital dan AI hari ini ialah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blok rantai (blockchain) dan aset digital termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.

Beliau berkata antara fokus utama adalah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, AI, analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasakan sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.

"Teknologi-teknologi ini mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepat transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan," katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.