ad
AGENDA

Serangan Israel di Gaza ancam kewujudan rakyat Palestin - PBB

8 Mei 2025, 11:30 AM
Serangan Israel di Gaza ancam kewujudan rakyat Palestin - PBB

NEW YORK, 8 MEI: Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menyatakan kebimbangan serius terhadap laporan rancangan Israel untuk memindahkan secara paksa penduduk Gaza ke kawasan kecil di selatan wilayah itu, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Beliau berkata ancaman oleh pegawai Israel untuk mengusir rakyat Palestin ke luar Gaza semakin menimbulkan kebimbangan bahawa tindakan Israel bertujuan mewujudkan keadaan hidup yang semakin tidak sesuai untuk kelangsungan rakyat Palestin sebagai satu kumpulan di Gaza.

Turk menegaskan tiada sebab untuk mempercayai bahawa pendekatan ketenteraan yang digandakan - yang sejak satu tahun lapan bulan lalu gagal menghasilkan penyelesaian berkekalan termasuk pembebasan semua tebusan - akan berjaya kali ini.

Beliau berkata peluasan serangan di Gaza hampir pasti akan menyebabkan lebih ramai pelarian, kematian dan kecederaan terhadap orang awam yang tidak berdosa, serta kemusnahan infrastruktur yang masih berbaki di wilayah itu.

Ia hanya akan menambah penderitaan akibat sekatan sepenuhnya terhadap kemasukan barangan asas selama hampir sembilan minggu, katanya sambil menegaskan bahawa penduduk Gaza telah dinafikan segala keperluan asas yang menyelamatkan nyawa, khususnya makanan, dengan serangan berterusan Israel ke atas dapur komuniti dan individu yang cuba mengekalkan undang-undang dan ketenteraman asas.

"Sebarang penggunaan kebuluran terhadap penduduk awam sebagai kaedah peperangan merupakan satu jenayah perang," katanya sambil menambah bahawa satu-satunya penyelesaian berkekalan kepada krisis ini adalah dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa, termasuk seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam Pendapat Nasihat 2024 dan perintahnya mengenai langkah sementara.

- BERNAMA-QNA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.