SHAH ALAM, 8 MEI: Sebanyak 31 rumah kebajikan menempatkan 12,380 anak yatim berdaftar dengan Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) disantuni dengan pelbagai bantuan yang menjamin masa depan.
Agensi itu memaklumkan, antara sokongan diberi termasuk bantuan pengurusan, program pembangunan sahsiah dan akademik anak yatim serta jaringan sokongan komuniti yang kukuh.
“Yide menyeru lebih banyak rumah kebajikan anak yatim di Selangor mendaftar dan bekerjasama dengan pihak kami kerana ia bakal membuka peluang kepada pelbagai manfaat.
“Ia termasuklah bantuan pengurusan, program pembangunan sahsiah serta jaringan sokongan yang kukuh demi kesejahteraan anak-anak yatim di negeri ini,” katanya di Facebook.
[caption id="attachment_700116" align="alignnone" width="831"] Pembinaan dewan serba guna Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang. Foto Facebook Yide[/caption]
Menurut Yide, pihaknya turut melaksanakan program ziarah ke rumah kebajikan anak yatim sekitar negeri bagi menilai potensi dan kelayakan premis itu untuk proses pendaftaran rasmi di bawah seliaan Yide.
“Antara kriteria utama dinilai termasuk status pendaftaran sah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pematuhan terhadap garis panduan pengurusan ditetapkan bagi memastikan mereka membesar dalam persekitaran sejahtera, selamat dan penuh kasih sayang.
“Orang awam juga diseru bersama-sama menghulurkan sumbangan, sama ada dalam bentuk kewangan, barangan keperluan harian atau sokongan tenaga kerja sukarelawan dalam memastikan kelangsungan program kebajikan, pendidikan dan kebajikan harian anak-anak yatim,” katanya.
Sementara itu, menurut agensi itu, pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Yide di Pulau Indah, Klang berlangsung mengikut jadual dan mencapai kemajuan tahap kesiapan 67 peratus setakat 30 April.
Menurutnya, dana berjumlah RM5.7 juta masih diperlukan untuk menyiapkan kompleks itu yang dijangka dapat diselesaikan pada hujung Januari tahun depan.
“Yide menyeru kebersamaan orang ramai, agensi, syarikat korporat, komuniti, pertubuhan dan kumpulan jemaah masjid bagi menyokong dan merealisasikan inisiatif murni ini agar kompleks ini segera disiapkan,” katanya.
[caption id="attachment_700117" align="alignnone" width="1031"] Pembinaan blok asrama di Kompleks Asrama Anak Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) di Pulau Indah, Klang. Foto Facebook Yide[/caption]
Sumbangan boleh dibuat menerusi pautan https://infaqpay.my/go/yide?referrer=fb003 (infaq secara bulanan) dan https://infaqpay.my/plus/yide-sumbangan?referrer=fb003 (infaq secara sekali bayar) dan sumbangan itu layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pembinaan kompleks itu dianggarkan sekitar RM17 juta yang bakal menempatkan sekitar 200 anak yatim dengan fasiliti lengkap dan kondusif seperti asrama, surau, dewan serbaguna, pusat komersial dan gelanggang permainan.