SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan Negeri menyambut baik kerjasama bersama Persatuan Terapi Cara Kerja Malaysia (PTKM) bagi memperkukuh program kesihatan awam di Selangor, termasuk aspek rehabilitasi dan kesejahteraan mental.
EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata sinergi ini diharap memperkukuh ekosistem kesihatan awam yang inklusif dan responsif selari dengan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan.
[caption id="attachment_700135" align="aligncenter" width="815"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Ahli Terapi Cara Kerja Malaysia di KSL Esplanade Klang pada 8 Mei 2025. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin[/caption]
“Kerajaan Negeri menyokong penuh setiap usaha untuk memperkasa bidang kesihatan awam. Banyak inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan untuk memperkukuh ekosistem ini.
"Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Selangor Mental Sihat, sebuah program intervensi kesihatan mental yang merangkumi program Kaunselor Hab SEHAT, Talian SEHAT dan slot Bicara Hati bersama kaunselor dan pakar psikologi di radio SelangorFM yang mengetengahkan topik emosi dan kesejahteraan mental,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jamaliah yang mewakili Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan Persidangan Kebangsaan Ahli Terapi Cara Kerja Malaysia (MOTNC) di KSL Esplanade Klang.
Beliau turut mencadangkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memulakan perbincangan dengan PTKM untuk melaksanakan program rehabilitasi komuniti di 12 daerah.
“Saya percaya ahli terapi cara kerja boleh memainkan penting dalam advokasi dan mempromosikan khidmat yang ditawarkan kerana mungkin ada dalam kalangan komuniti tidak tahu bagaimana mendapatkan rawatan dan rehabilitasi.
"Ahli terapi cara kerja bukan hanya memulihkan fungsi, tetapi memulihkan harapan, membangun potensi dan menghidupkan kembali makna dalam kehidupan individu. Inilah kekuatan sebenar profesion ini," katanya yang turut menekankan keperluan menambah bilangan ahli terapi cara kerja.
[caption id="attachment_700134" align="aligncenter" width="699"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ahli Terapi Cara Kerja Malaysia di KSL Esplanade Klang pada 8 Mei 2025. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin[/caption]
“Melihat kepada keperluan negara dengan peningkatan warga emas, penyakit kronik, kesihatan mental dan kanak-kanak berkeperluan khas, Malaysia memerlukan lebih ramai ahli terapi cara kerja.
"Dengan nisbah hanya satu ahli terapi cara kerja bagi lebih 10,000 penduduk ketika ini, Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding Jepun (1:100) dan Amerika Syarikat (1:5,000),” ujarnya.
Menyentuh tema persidangan “Occupation in Action: Transcending Four Walls”, beliau berkata ia mencerminkan realiti baharu profesion tersebut yang kini melangkaui ruang klinikal.
Jamaliah berkata, ahli terapi cara kerja kini hadir di komuniti, rumah dan pelbagai ruang sosial, memberi tumpuan kepada aspek psikososial, budaya dan spiritual.
[caption id="attachment_700132" align="aligncenter" width="812"] EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melawat pameran selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Ahli Terapi Cara Kerja Malaysia di KSL Esplanade Klang pada 8 Mei 2025. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin[/caption]