Memandang serius kejadian banjir di Taman Sri Muda (TSM) di Shah Alam, Kerajaan Selangor mengambil langkah tambahan bagi memastikan bencana itu tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Meski banyak tindakan dibuat sebelum ini termasuk menambah tiga unit pam skru baharu, usaha digandakan ekoran taman berkenaan terletak di kawasan rendah sekali gus terdedah risiko bah.
Pada Mei tahun lalu, tiga unit pam tersebut didirikan sebagai tambahan kepada tiga pam sedia ada. Berkapasiti 5,100 liter sesaat, ia berupaya mengepam keluar lima kali ganda air.
Selain itu, pam berkenaan yang kos pemasangannya membabitkan kos RM7.1 juta mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah. Namun, banjir masih melanda taman berkenaan pada 11 April.
Bencana itu yang turut ada kaitan dengan fenomena air pasang itu berlaku ekoran masalah teknikal berikutan pam gagal berfungsi akibat isu kekurangan bekalan tenaga elektrik.
Saifuddin Shafi Muhammad, setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar, dan wakil rakyat Kota Kemuning S Preakas selain agensi negeri berkaitan turun padang bagi menangani isu itu.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menegaskan pentadbiran negeri dan persekutuan gigih berganding bahu bagi menangani masalah banjir di Taman Sri Muda sejak 2021 lagi.
Pelbagai projek dirancang antaranya membina dan menaik taraf kolam takungan, menaik taraf saliran utama dan pintu air automatik serta pengalihan limpahan dari kawasan sekitar.
"Langkah ini akan terus diperkemas dan dipertingkat lagi," kata Amirudin di Facebook pada 5 Mei.
Untuk perancangan jangka panjang, sebanyak empat ban baharu dibina selain menaik taraf dua kolam takungan, membuat pengorekan saliran utama, semuanya antara Mac hingga Januari 2027.
Ban itu dibina untuk menghalang limpahan air sungai ke Taman Sri Muda, Seksyen 23 dan Seksyen 26. Kerja membina dua ban telah dimulakan lebih awal, satu pada Mac dan satu lagi April lalu.
Dimulakan pada Mac, ia dijadual siap hujung tahun ini manakala satu lagi sekitar Mei 2026. Dua lagi akan dibina iaitu antara Jun hingga Ogos tahun depan dan Julai hingga Januari 2027.
Kapasiti kolam takungan Taman Sri Muda pula ditingkat daripada 140,000 kepada 221,000 meter persegi selain menyediakan kolam takungan Kemuning pada kapasiti 26,000 meter persegi.
Kerja pengorekan juga akan dibuat mulai Oktober hingga Disember tahun ini bertujuan meningkatkan lagi kapasiti saliran ke kolam Taman Sri Muda.
Pelaksanaan berperingkat
Selain itu, kapasiti saliran utama taman berkenaan ke pintu air dipertingkat selain membina saliran Kemuning untuk mengalirkan air di kawasan tersebut ke kolam takungan Kemuning.
Untuk jangka pendek, aras air pam skru Taman Sri Muda diselaras dari 1.9 meter kepada 1.6 meter. Pembinaan ban Sungai Rasau yang dijangka siap bulan ini bertujuan menghalang limpahan air sungai.
Aliran air sungai dikawal melalui pintu air jenis Flap manakala kapasiti saliran utama taman berkenaan ke pintu air ditingkatkan. Sistem automatik pintu air Taman Sri Muda juga ditambah baik.
Dalam kenyataan pada 2 Mei, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor percaya langkah itu mengurangkan risiko banjir di sekitar Taman Sri Muda melalui perancangan jangka pendek dan panjang.
Sejak 2022 lagi, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) giat menjalankan empat projek tebatan banjir bernilai RM14.64 juta menerusi Pelan Tindakan Banjir Shah Alam (SASuD).
Projek tersebut dibuat secara berperingkat melibatkan di Kampung Bukit Naga, Seksyen 32, Taman Sri Muda, Seksyen 25; Taman Mesra, Seksyen U1 dan Seksyen 13.
Empat tahun lalu, Taman Sri Muda antara lokasi yang ditenggelami banjir besar ekoran taburan hujan luar biasa mencecah 300 hingga 400 dalam tempoh 24 jam. Kejadian itu menggusarkan penduduk setiap kali hujan.
Usaha menangani banjir juga dibuat di beberapa kawasan lain yang dikenal pasti antaranya Kampung Baru Hicom dan Padang Jawa di Shah Alam serta Kampung Tengah dan Kampung Seri Aman di Puchong.
Menurut EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim, pihaknya dengan kerjasama JPS negeri akan membina pintu kunci air lokasi yang sering terjejas akibat hujan lebat di kawasan berkenaan.
“Jadi langkah segera kita bina pintu kunci air. Kita akan mohon peruntukan negeri supaya kerja ini dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya pada 16 April.
Lebih 90 projek tebatan banjir membabitkan kos hampir RM4 bilion giat dijalankan tetapi pelaksanaannya memerlukan masa beberapa tahun bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
Dalam tinjauan Media Selangor pada 6 Mei, rata-rata penduduk Taman Sri Muda mengakui lega atas kesungguhan Kerajaan Negeri. Mereka juga tertarik apabila meneliti pelan perancangan JPS negeri.
Berikut pandangan mereka:
“Memang usaha ini bagus, tetapi ketentuan Allah itu (berlaku banjir) memang tidak dinafikan. Saya rasa memang tidak dapat menghalang banjir, namun cara begini dapat mengurangkan limpahan air. Insya-Allah dapat melegakan serba sedikit hati penduduk.”
Juhaizat Md Jaiz, 66, nazir masjid Taman Sri Muda
“Kalau boleh ubah keadaan menjadi lebih baik daripada dahulu, baguslah. Kerajaan usaha juga yang mereka boleh buat. Kalau sudah tunjuk (projek) itu, kira okaylah. Sebab jika air melimpah, kena ada ban, tiada apa lagi yang boleh buat.
Langkah ini boleh meyakinkan rakyat.”
Harphajan Singh, 63, pemandu teksi
“Kalau betul-betul kerajaan buat, syukur Alhamdulillah. Dapatlah mengurangkan banjir kawasan sekitar. Boleh senang sikit. (Ada projek ini) boleh berharaplah. Betul, dapat mengurangkan kerosakan harta benda.”
Aida Mohammad, 45, pekerja kilang
“Saya kali pertama rasai banjir baru-baru ini. Saya rasa risaulah. Syukurlah, kerajaan ada tindakan untuk mengatasi masalah banjir di Taman Sri Muda ini. Mudah-mudahan projek ini dapat menghalang banjir lebih teruk. Kalau boleh dipercepatkan. Lebih cepat lebih baik.”
Dennis Chin, 33, pemandu Grab