SHAH ALAM, 8 MEI: Firma guaman Tetuan Mohd Ashraf, Nik Zarith & Co, yang mewakili pemain Selangor FC Faisal Halim, mendesak pihak berkuasa meneruskan siasatan berhubung serangan simbahan asid terhadap anak guamnya selepas kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Peguam mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha dan Mohd Haijan Omar, berkata sejak siasatan bermula, beberapa langkah proaktif telah diambil bagi memastikan kes tersebut diberi perhatian sewajarnya.
Antara tindakan diambil termasuk memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mengemukakan permohonan agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dan diutamakan.
"Kami juga telah mengirimkan beberapa surat kepada pihak berkepentingan, termasuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang di-Pertua Dewan Negara, Kementerian Dalam Negeri, dan Jabatan Peguam Negara bagi menggesa agar kes ini dipantau dan diberikan keutamaan," kata mereka, memetik laporan Sinar Harian.
Ditemui di pejabat firma guaman tersebut di Kajang hari ini, peguam itu menjelaskan bahawa kes diklasifikasikan sebagai NFA menerusi surat bertarikh 18 Februari yang diterima pihaknya pada 20 Februari.
Menurut mereka, keputusan NFA diambil selepas polis tidak dapat mengesan sebarang petunjuk yang mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek.
"Kami amat kecewa dengan hasil siasatan tersebut. Justeru, kami akan terus mengadakan perbincangan dengan Faisal Halim bagi menentukan tindakan lanjut," tambah mereka.
Kes serangan asid terhadap Faisal mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, terutamanya peminat bola sepak tanah air yang mengharapkan keadilan ditegakkan bagi mangsa.
[caption id="attachment_641192" align="aligncenter" width="810"] Keadaan Faisal Halim selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli belah di ibu negara pada 5 Mei 2024. Foto ihsan laman X Fina Nasrom[/caption]
Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal, penjaring gol terbaik Piala Asia 2023, disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Kota Damansara, mengakibatkan kecederaan lecur tahap empat pada beberapa bahagian tubuh. Beliau terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan fisioterapi.
Dua bulan selepas kejadian, Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan usul tergempar mengecam keganasan terhadap atlet sukan, yang turut mendapat sokongan wakil kerajaan dan pembangkang.
Dalam usul itu, Ahli Dewan Negeri (ADN) turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan dan hasilnya didedahkan kepada umum.
Susulan itu, polis Selangor memaklumkan kes telah diambil alih oleh pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
[caption id="attachment_642973" align="aligncenter" width="563"] Selangor FC berkongsi kata-kata semangat yang dipamerkan penyokong pasukan itu buat pemain sayap Faisal Halim yang kini dirawat di hospital susulan kejadian disimbah asid pada 5 Mei 2024. Foto Facebook Selangor FC[/caption]