SHAH ALAM, 7 MEI: Kadar kesuburan di Malaysia menunjukkan penurunan dengan hanya purata 1.7 anak bagi setiap wanita pada 2023 berbanding 2.1 anak pada 2010.
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara faktor yang menyumbang perkara itu adalah penurunan umur penengah perkahwinan dan kemajuan negara.
“Semakin menurun dan semakin agak pantas (kadar kesuburan). Mungkin dulu potensi perkahwinan antara keutamaan, tetapi sekarang kita nampak penangguhan perkahwinan.
“Ini yang sentiasa kita lihat berlaku atas keputusan bila sebuah negara itu bergerak ke negara maju. Kita tahu negara kita semakin bergerak ke arah perbandaran,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu beliau membentangkan data pada program Sidang Diskusi Madani: Pemerkasaan Wanita dan Jurang Jantina di Malaysia Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) di Universiti Selangor (Unisel), di sini, hari ini.
Program anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) dan Unisel itu turut dihadiri Naib Canselor dan Presiden Unisel Dato’ Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman.
Tambahnya, penurunan kadar kesuburan menyebabkan proses penuaan negara berlaku lebih cepat yang dijangka memberi kesan kepada ekonomi negara pada masa depan.
“Kita ada 2 juta warga emas, apabila kelahiran semakin kurang maknanya jejaskan bidang pekerjaan. Ini juga akan memberi kesan kepada corak ekonomi dan kesediaan kita dalam sumber manusia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata golongan wanita merekodkan peningkatan dalam penyertaan tenaga buruh dengan 56.2 peratus pada 2023 berbanding hanya 45.7 peratus sepanjang empat dekad lalu.
Menurutnya, golongan wanita juga mendominasi sektor perkhidmatan awam dengan 54.6 peratus selain perbezaan gaji antara jantina masih ketara.
“Siapa yang berusaha untuk berniaga atau kerjaya, tidak ada kekangan. Cuma gaji itu, jurangnya, keseluruhan umumnya lelaki akan lebih lama dalam pekerjaan.
“Jadi itu menyebabkan gaji lelaki lebih sedikit tetapi kalau mengikut gaji permulaan atau gred, tiada diskriminasi,” katanya.