SHAH ALAM, 7 MEI: Selangor FC mengumumkan kerjasama dengan syarikat penganjur sukan dan hiburan, Haro Sports & Entertainment Sdn Bhd bagi musim 2025/2026 akan datang.
Ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata kerjasama akan menghubungkan pihaknya dengan kejohanan lumba kereta Super GT Malaysia, sekali gus memberi pengalaman baharu kepada kedua-dua industri selain meluaskan nama ke persada antarabangsa.
Menurut Dr Johan Kamal Hamidon, gabungan ini akan menawarkan pas akses eksklusif kepada pemegang pas bermusim Grandstand Selangor FC 2025/26 ke acara Super GT Malaysia yang berlangsung 26 hingga 28 Jun ini di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
“Ini memberi peluang kepada penyokong setia Selangor merasai pengalaman menonton perlumbaan Super GT dari tempat duduk Grandstand yang julung kalinya dipertandingkan di Malaysia setelah 10 tahun.
“Pengunjung turut berpeluang mengenali budaya, makanan dan hiburan dari Jepun yang dibawakan khas secara eksklusif oleh Nihon Matsuri iaitu festival kebudayaan Jepun yang terkenal.
“Untuk rakan platinum Super GT Motorsports dan Haro Sports & Entertainment pula berpeluang menikmati akses Skydeck semasa perlawanan Selangor FC sepanjang musim 2025/26 di Stadium MBPJ,” katanya menerusi kenyataan.
Johan yakin kerjasama ini akan membuka dimensi baharu serta mencipta pelbagai keunikan memandangkan latar belakang kedua-dua pihak berbeza.
“Budaya sukan permotoran mempunyai tarikan yang tersendiri dan apabila digabungkan dengan bola sepak, ia mencipta pengalaman berharga antara dua sukan ini.
“Kolaborasi ini juga akan dimanfaatkan dengan pertukaran idea dalam menerokai dunia komersial dan kreatif dengan menghasilkan konten yang mampu meluaskan nama kelab dan sukan bola sepak Malaysia serta industri permotoran dengan pendekatan yang unik dan kreatif,” katanya.