OSAKA, 7 MEI: Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd berkongsi kepakaran bagi
pengurusan perkhidmatan logistik dan pensijilan halal kepada pemain industri Jepun.
Pembentangan sempena Ekspo Osaka Kansai 2025 sebagai pemudah cara usahawan kecil dan sederhana di negara matahari terbit itu untuk menembusi pasaran halal peringkat global, kata EXCO agama.
Menurut Dr Fahmi Ngah, potensi industri halal dunia pada ketika ini dinilai sekitar tiga trilion dolar Amerika Syarikat (USD) untuk pasaran dua bilion umat Islam di seluruh dunia.
“Daripada jumlah ini, pasaran makanan dan minuman (F&B) menyumbang sebanyak 35 peratus, selain sistem kewangan Islam pada sekitar sembilan hingga 10 peratus setiap tahun.
[caption id="attachment_700013" align="alignright" width="470"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah ditemui ketika program pembentangan ‘Halal Global Market Overview’ dalam pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 6 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Potensinya sangat besar dan latihan HIS memberi jaminan kepada pemain industri proses penghasilan produk dari pembuatan hingga logistik menepati piawaian dan terjamin status halalnya,” katanya.
Ditemui selepas pembentangan di sini, Dr Fahmi berkata sebuah syarikat perunding dari Jepun menyatakan minat mengikuti latihan proses mendapatkan pensijilan halal daripada HIS.
Berikutan itu, beliau berharap lebih banyak penyertaan daripada syarikat tempatan di Jepun mengikuti program ekosistem halal HIS untuk mengembangkan produk mereka.
“Pelabur yang berminat boleh hubungi HIS untuk maklumat lanjut bagaimana kami boleh membantu mengembangkan perniagaan mereka hingga tembusi Asia dan dunia dalam industri halal,” katanya.
Selangor menyertai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk pengajuran pameran Pavilion Malaysia di ekspo dunia yang melibatkan penyertaan 161 negara.
Program selama seminggu itu menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
[caption id="attachment_700014" align="aligncenter" width="682"] Pemain industri mendengar penerangan ketika program pembentangan ‘Halal Global Market Overview’ dalam pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 6 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]