ad
AGENDA

Nurul Izzah hargai sokongan, 'akan buat keputusan terbaik'

7 Mei 2025, 6:00 AM
Nurul Izzah hargai sokongan, 'akan buat keputusan terbaik'

SHAH ALAM, 7 MEI: Setelah menerima dukungan meluas sebagai calon timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurul Izzah Anwar melahirkan rasa penghargaannya kepada parti itu.

Namun naib presiden KEADILAN itu tidak menyatakan sama ada mahu bertanding jawatan tersebut atau mengekalkan kedudukannya sekarang.

"Setulusnya, saya menghormati lagi menghargai pandangan akar umbi untuk saya bertanding bagi jawatan timbalan presiden KEADILAN," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya akan memberi keputusan terbaik mengimbangkan antara kesepakatan, jalinan dengan persahabatan dan perubahan serta reformasi bermakna buat semua anggota."

Nurul Izzah, bekas ahli parlimen Permatang Pauh dan Lembah Pantai, menerima sokongan meluas daripada pemimpin banyak negeri antaranya Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Melaka.

Pencalonan bagi jawatan-jawatan peringkat pusat seperti naib presiden dan timbalan presiden dibuka dalam talian antara 12.00 tengah malam 8 Mei hingga 11.59 malam 9 Mei.

Sementara pengundian bagi jawatan-jawatan tersebut akan berlangsung pada 23 Mei.

Timbalan Presiden Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan jawatan tersebut. Selain Nurul Izzah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dicalon untuk jawatan tersebut.

Dalam kenyataan ringkas itu, Nurul Izzah juga berkata keputusannya akan mempertimbang keperluan menyatu rakan seperjuangan dan membawa nafas baharu demi memastikan parti diyakini rakyat.

"Kita beri kata putus bukan untuk mana-mana individu tetapi demi usaha membina masa depan KEADILAN secara bersama di kala suka dan duka. Insya-Allah," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.