OSAKA, 7 MEI: Lima syarikat permulaan dari Selangor menyertai Ekspo Osaka, Kansai 2025 untuk berkongsi inovasi dan idea perniagaan bersama pelabur melalui forum Building a Resilient Future: Where Technology Meets Tomorrow di sini, hari ini.
Lima syarikat permulaan yang menyertai ekspo dunia ini ialah Xtractify Sdn Bhd, Collaborative Excellence Sdn Bhd, Modello Search Sdn Bhd (GoFluence), Neupulse Sdn Bhd (BiiB) dan Hikayat Kebun Sdn Bhd.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata kesemua syarikat ini mempunyai latar belakang dalam sektor kecerdasan buatan (AI), kemampanan dan pertanian.
“Penyertaan Selangor di Ekspo Dunia ini juga menghantar mesej yang jelas, pentadbiran negeri terbuka untuk menjalin kerjasama bersama pelabur dan pemain industri di peringkat antarabangsa.
“Kami mengalu-alukan pelaburan dan perkongsian teknologi yang membawa nilai tambah kepada syarikat permula sekali gus memperluas inovasi dari aspek keterangkuman dasar, bakat dan akademik,” katanya ketika berucap pada forum itu.
Sze Han menambah Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berjaya melahirkan 320 syarikat bermula dan dari jumlah ini 65 telah berjaya menjana pelaburan sejumlah RM203 juta.
“Melalui inisiatif strategik yang dikendalikan Sidec seperti Program Pemecut Selangor (SAP) dan Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX) membawa negeri sebagai pemangkin kemajuan digital,” katanya lagi.
Kerajaan Negeri menyertai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk pengajuran pameran Pavilion Malaysia di ekspo dunia yang melibatkan penyertaan 161 negara.
Melalui pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Program selama seminggu ini menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.