ad
BERITA UTAMA

Tangisan gadis B40 raih 8A, ulang kali guna modul tuisyen negeri

7 Mei 2025, 3:55 AM
Tangisan gadis B40 raih 8A, ulang kali guna modul tuisyen negeri
Tangisan gadis B40 raih 8A, ulang kali guna modul tuisyen negeri
Tangisan gadis B40 raih 8A, ulang kali guna modul tuisyen negeri

SHAH ALAM, 7 MEI: Apabila anaknya menyuarakan hasrat untuk mengikuti tuisyen, Normazni Ghazali tidak ada pilihan selain berterus terang. Mereka tidak berkemampuan. Beliau hanya juruwang sambilan manakala suaminya kerani.

Dalam sedih, beliau memujuk Wan Nur Humaira Wan Mohd Farizal. Betapa semuanya bergantung atas diri sendiri, bahkan orang dulu-dulu yang tidak pernah ke tuisyen boleh berjaya dalam pelajaran.

“Bila tengok-tengok, satu mata pelajaran pun RM50, terus terang saya cakap tidak mampu,” katanya yang mengakui tiga lagi anaknya juga tidak pernah mengikuti tuisyen berbayar.

Di luar pengetahuan mereka, Humaira diam-diam membuat permohonan menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra. Beliau terpilih mengisi satu daripada 35 kuota.

Pada hari keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, mereka terkejut apabila Humaira meraung-raung sepulang dari sekolah. Normazni dan suami Mohd Farizal Wan Yusoff dihimpit kebimbangan. Mereka memujuk anaknya itu supaya reda akan ketentuan-Nya.

[caption id="attachment_699946" align="alignleft" width="388"] Wan Nur Humaira Wan Mohd Farizal menunjukkan modul yang digunakan untuk mengulang kaji pelajaran, yang membantunya meraih keputusan cemerlang dalam SPM, baru-baru ini. Foto HANAFI MOHAMED/MEDIA SELANGOR[/caption]

Rupa-rupanya, ia tangisan kegembiraan, keseronokan bukan kepalang. Humaira dapat lapan A semua mata pelajaran bersama seorang lagi rakan sekolah. Ketika itu juga, baru mereka tahu selama ini, setiap Jumaat dan Sabtu, Humaira mengikuti kelas PTRS kendalian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Sejak tingkatan empat lagi, Humaira teringin mengikuti tuisyen seperti kebanyakan rakan. Namun, menyedari keluarganya berpendapatan rendah, keinginan tersebut dipendamnya dalam-dalam.

Gadis itu, yang memasang cita-cita menjadi akauntan, menyedari kekurangan diri. Meski meminati mata pelajaran matematik, beliau cuma memperoleh pangkat D dalam peperiksaan percubaan.

Apabila mengetahui ada tuisyen percuma iaitu PTRS di sekolahnya tetapi terhad kepada keluarga berpendapatan bawah RM5,000, beliau lekas-lekas memohon dan berjaya.

Modul terbaik

“Kawan lain masuk tuisyen, memanglah hendak. Tapi nanti ibu ayah terbeban. Bila terpilih masuk PTRS, waktu itu memang nekad dalam diri, sudah dapat yang percuma, buat yang terbaik. Memang tidak pernah tinggal kelas.

“PTRS memang banyak tolong terutama matematik, banyak formula kami belajar. Modul yang kami dapat, pada saya yang terbaik matematik, sains dan bahasa Melayu. Dengan contoh karangan dalam buku, memang bagus.

“Dalam kelas, kelainannya cikgu fokus kepada sesuatu topik. Cikgu banyak tekankan, ulang tajuk sama, suruh buat kuiz dan dua bulan sebelum SPM memang bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Humaira juga menerima komputer riba untuk mengikuti kelas fizikal PTRS seterusnya memudahkan proses pembelajaran. PTRS juga menyediakan makanan tengah hari percuma kepada peserta.

[caption id="attachment_680870" align="aligncenter" width="812"] Modul buku Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kelas ini banyak membantu. Seperti dapat komputer riba, jadi kami boleh ikuti kelas, buat kuiz, semuanya menggunakan komputer riba daripada PTRS,” katanya yang selalu bangun jam 2 atau 3 pagi untuk membuat ulang kaji.

PTRS adalah bantuan kelas tambahan yang disediakan untuk pelajar tingkatan empat dan lima dari kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi mereka lemah dan sederhana.

Sukatan mata pelajaran tersebut antaranya meliputi bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan matematik tambahan.

Sejak Ogos 2023, pembelajaran boleh diikuti dengan mendaftar aplikasi ePTRS melalui telefon bimbit atau komputer riba di pautan www.eptrs.my.

Selaku bapa, Wan Mohd Farizal berbangga atas kejayaan Humaira. Beliau tidak putus-putus berterima kasih atas inisiatif PTRS yang diusahakan Kerajaan Selangor sejak 2012.

“Terima kasih dan bersyukur sangat-sangat. Sebab anak saya ini memang saya tak hantar (ke) mana-mana tuisyen pun, sebab tak cukup (wang). Dari segi saya sendiri dan isteri bantu pun, tidak cukup tampung empat anak, semua masih belajar,” katanya.

Lantaran tidak tahu anaknya menyertai PTRS, beliau mulanya risau Humaira ke keluar rumah setiap petang Jumaat dan pagi Sabtu. Hanya lega apabila Humaira memberi gambar di kelas bersama rakan sekolah.

Pernah memohon zakat atas ketidakcukupan keluarga, beliau berharap inisiatif PTRS diteruskan bagi memberi peluang kepada keluarga tidak berkemampuan seperti mereka untuk meraih kejayaan dalam pendidikan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.