ALOR SETAR, 6 MEI: Polis menembak mati tiga individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket curi kenderaan pacuan empat roda (4x4) dalam satu serbuan di sebuah rumah inap di Taman Sejahtera, Sik 1 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata serbuan 2.30 pagi itu hasil risikan berkait sindiket curi kenderaan di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak yang diseludup keluar ke sempadan negara.
"Semasa serbuan, tiga suspek yang berusia antara 35 dan 37 tahun itu melepaskan beberapa das tembakan serta menyerang pasukan polis menggunakan parang, bagi mempertahankan keselamatan, polis membalas tembakan dan menyebabkan tiga suspek yang mengalami kecederaan parah maut.
"Hasil pemeriksaan lanjut polis menjumpai dua pucuk pistol, beberapa kelongsong peluru dan sebilah parang yang digunakan suspek. Semakan turut mendapati ketiga-tiga suspek yang beralamat di Negeri Sembilan itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau termasuk kes curi kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Mohd Shuhaily berkata polis juga telah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan digunakan suspek iaitu jenis Honda CRV yang dilaporkan hilang di daerah Petaling Jaya, Selangor April lalu.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 26 nombor plat pendaftaran palsu dan pelbagai alatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan curi kenderaan. Semakan lanjut juga mendapati, sindiket ini bergiat aktif sejak 2023 dan terbabit dalam 73 kes kecurian kenderaan 4x4.
"Pada hari sama iaitu kira-kira 3 petang, Unit Risikan Sempadan (URS) JSJ, Malaysian Police Liasion Office (MPLO) dan Royal Thai Police (RTP) berjaya menemukan dua kenderaan 4x4 jenis Toyota Hilux yang dicuri dan diseludup keluar ke sempadan melalui jalan tikus oleh sindiket berkenaan," katanya.
Beliau berkata empat warga Thailand berumur antara 34 dan 58 tahun yang berperanan sebagai penghantar kenderaan ke utara negara jiran itu turut ditahan di daerah Sabayoo, Wilayah Songkhla, Thailand.
"Kita juga percayai, ketua sindiket yang merupakan warga asing masih berada di luar sana dan polis sedang mengesan ahli sindiket ini. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat terutamanya melibatkan kejadian jenayah curi kenderaan yang berlaku di kawasan masing-masing," katanya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kes Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang sejak 9 April lalu, Mohd Shuhaily berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan bahawa kenderaan yang terlibat dalam kes itu menggunakan nombor plat pendaftaran palsu.
"Polis sedang mengesan kenderaan yang terlibat dalam kes ini tetapi dimaklumkan oleh JPJ bahawa nombor plat pendaftaran digunakan palsu.
“Jadi, kita kenal pasti model kenderaan itu dan arahan telah diberikan untuk mencari kenderaan yang menyerupai kenderaan digunakan menerusi pencarian kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan sempadan Selangor," katanya.
- BERNAMA