SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pemberian alat sokongan percuma sempena sambutan ulang tahun Jubli Perak pihak berkuasa tempatan (PBT) itu tahun ini.
MBSA memaklumkan tawaran tersebut terbuka kepada orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan golongan kurang berkemampuan terpilih.
Antara alat sokongan yang disediakan adalah kerusi tandas (20 unit), gigi palsu (10 penerima), kerusi roda (10 unit), tongkat bantu jalan (20 unit) dan cermin mata membaca (20 unit).
Permohonan dibuka bermula semalam dan boleh dibuat menerusi imbasan kod QR yang tertera di poster.
Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-5522 2732 / 010-353 3129 (Seksyen Kemasyarakatan dan Khidmat Komuniti MBSA).
Shah Alam dinaik taraf sebagai bandar raya pada 10 Oktober 2000 dan menjadi bandar raya pertama di Selangor menerima pengisytiharan berkenaan.