ad
ADN

Sektor pelancongan perkukuh ekonomi setempat, peluang serlah kreativiti

6 Mei 2025, 3:55 AM
Sektor pelancongan perkukuh ekonomi setempat, peluang serlah kreativiti

OLEH LAU SOOK MAY

SERI KEMBANGAN, 6 MEI: Sektor pelancongan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan dan ruang untuk anak muda menyalurkan kreativiti jika dimanfaatkan oleh semua pihak.

Wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki berkata Tahun Melawat Selangor 2025 tidak seharusnya dilihat sebagai program kerajaan semata-mata, sebaliknya digerakkan untuk memperkukuh ekonomi setempat.

Menurut Siew Ki, pelancongan memberi kesan langsung kepada banyak sektor seperti makanan, kraf tangan, pembuatan serta industri kreatif, sekali gus mencipta peluang kerja kepada penduduk.

“Ramai anak muda hari ini terpaksa berhijrah ke bandar besar atau luar negara untuk mencari peluang.

"Namun jika pelancongan tempatan dibangunkan, mereka boleh terus menetap dan berkembang di kawasan sendiri,” katanya selepas pelancaran Festival Budaya Datuk Kong Seri Kembangan 2025 di sini, baru-baru ini.

Mengakui golongan muda lebih mahir memanfaatkan media sosial, Siew Ki berkata platform tersebut boleh menjadi medium utama promosi pelancongan komuniti secara kreatif dan berimpak tinggi.

Sehubungan itu, beliau melaksanakan Program Latihan Duta Pelancongan Seri Kembangan yang kini disertai 50 peserta, dengan matlamat melahirkan 1,000 duta dalam tempoh terdekat.

“Kita tidak semestinya perlukan selebriti sebagai duta pelancongan. Penduduk tempatan lebih memahami keunikan kawasan masing-masing, mereka individu paling layak memperkenalkan tempat ini kepada pelawat luar,” jelasnya.

“Saya juga berharap seluruh penduduk dapat bersama mempromosi keunikan Seri Kembangan agar dapat menjana pendapatan tambahan serta membolehkan anak-anak terus membesar dekat dengan ibu bapa mereka.”

Tahun Melawat Selangor 2025 merupakan inisiatif utama Kerajaan Negeri bagi menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan unggul di negara ini.

Kerajaan Negeri menyasarkan kehadiran 8 juta pelancong dan RM11.7 bilion hasil pendapatan melalui kempen tersebut yang turut memberi fokus kepada pasaran antarabangsa seperti China, Indonesia, Vietnam dan Thailand.

Pelbagai program promosi dan acara kebudayaan akan dilaksanakan bagi memperkenalkan keunikan serta kekayaan pelancongan Selangor secara menyeluruh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.