SHAH ALAM, 5 MEI: Impak perdagangan Malaysia masih terkawal susulan penangguhan pelaksanaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS), kata perdana menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan membina ekosistem rantaian bekalan yang teguh serta mempelbagai produk dan eksport bagi memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pasaran.
“Jika dilihat hanya dari perspektif eksport Malaysia ke AS, dijangka impaknya terkawal. Namun, isu yang amat memprihatinkan kepada Malaysia sebagai ekonomi terbuka adalah impak dasar AS ke atas ekonomi global.
“Kita perlu menerima kenyataan bahawa, setakat angka yang diperolehi hari ini, negara berdepan dengan unjuran ekonomi yang lebih sederhana,” katanya pada mesyuarat khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, negara berkemungkinan tidak dapat mencapai unjuran Belanjawan 2025 bagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.
Jelasnya, Kementerian Kewangan dan Bank Negara sedang meneliti kesan tarif dan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK selepas pelaksanaan tarif dan hasil rundingan dengan AS.
“Untuk makluman Dewan ini, rundingan bersama AS ketika ini masih berada di peringkat awal. Tiada sebarang komitmen muktamad telah dibuat oleh Malaysia mahupun pihak AS.
“Segala perbincangan yang sedang berjalan tertakluk kepada Non-Disclosure Agreement (NDA), selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif,” katanya.
April lalu, AS mengumumkan akan melaksanakan tarif 24 peratus terhadap produk eksport dari Malaysia sebagai sebahagian daripada tindakan perdagangan untuk melindungi industri tempatan mereka.
Bagaimanapun, beberapa hari kemudian Presiden Donald Trump mempertimbang penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, termasuk Malaysia.