SHAH ALAM, 5 MEI: Ekspo Dunia Osaka 2025 yang berlangsung ketika ini menjadi platform untuk Selangor meneroka ekonomi berasaskan inovasi dan kelestarian, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah berkenaan perlu memandangkan aspek kelestarian menjadi prasyarat dalam usaha membina ekonomi masa depan seterusnya memanfaatkan generasi akan datang.
“Beberapa tahun ini, Selangor sudah menjalinkan kerjasama yang baik dengan Jepun. Kerjasama dimulakan dengan penyelesaian perubahan iklim demi menjadikan Selangor lebih berdaya tahan.
“Walaupun usaha bersama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (Jica) ini masih dalam proses namun ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan universiti dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
[caption id="attachment_699711" align="alignnone" width="793"] Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 pada 5 Mei 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Berucap merasmikan Minggu Selangor di Pavilion Malaysia sempena expo berkenaan, Amirudin berkata pentadbirannya teruja untuk terus bekerjasama dengan Jepun termasuk meneroka bidang kecerdasan buatan (AI).
“Tahun ini kertas putih berkenaan AI akan dibentang pada sidang Dewan Negeri Selangor bagi meneliti keseluruhan rangka kerja selain memahami ancaman dan kelemahannya.
“Walaupun menggunakan AI, Kerajaan Negeri tetap akan mengutamakan kebajikan pekerja dan bidang ini sebagai pelengkap kehidupan,” katanya.
[caption id="attachment_699715" align="alignnone" width="826"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama kumpulan muzik Balle Balle Kuala Selangor ketika melawat pameran Minggu Selangor di Pavilion Malaysia dalam Ekspo Dunia Osaka 2025, Jepun pada 5 Mei 2025. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dianjurkan oleh Invest Selangor, pameran Minggu Selangor dengan membawa tema “Building a resilient future” menampilkan Selangor sebagai negeri masa depan yang berdaya saing, berhubung secara global dan dipacu oleh teknologi, budaya serta tenaga belia.
Penyertaan Pavilion Malaysia yang bertemakan “Menenun Masa Depan Dalam Harmoni” dalam ekspo itu merupakan sebahagian strategi yang lebih meluas untuk meningkatkan kehadiran global dan perkongsian ekonomi negara.