SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan menyifatkan penerapan tarif timbal balas yang ditetapkan Amerika Syarikat (AS) sebagai satu penolakan kepada prinsip perdagangan bebas tanpa diskriminasi bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata tindakan tersebut juga seolah-olah mengenepikan perdagangan adil yang selama ini diperjuangkan bagi mengelak daripada ketempangan sistem yang menekan ekonomi.
“Satu hal yang ingin saya tegaskan bahawa kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.
“Reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka ekonomi Madani membantu negara untuk lebih berdaya tahan dan siap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global,” katanya pada mesyuarat khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menolak dakwaan AS bahawa Malaysia mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS, sebaliknya tarif yang dikenakan hanyalah pada kadar 5.6 peratus.
Jelasnya, pengiraan AS adalah berdasarkan nisbah mudah defisit dagangan negara itu dengan Malaysia berbanding jumlah import AS daripada Malaysia pada tahun lalu.
“Dakwaan ini digunakan sebagai asas untuk mengenakan tarif timbal balas 24 peratus ke atas Malaysia iaitu pengurangan 50 peratus ke atas tarif 47 peratus yang dikatakan dikenakan oleh Malaysia ke atas import dari AS,” katanya.
Anwar menambah, keputusan tarif timbal balas memberi kesan besar terhadap prestasi eksport Malaysia ke AS, selain dikhuatiri menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Justeru, katanya, kerajaan berpendirian bahawa sebarang cabaran terhadap hubungan perdagangan perlu ditangani secara pragmatik dan berteraskan kepentingan negara.
April lalu, AS mengumumkan akan melaksanakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap produk eksport dari Malaysia sebagai sebahagian daripada tindakan perdagangan untuk melindungi industri tempatan mereka.
Tindakan termasuk kepada beberapa rakan dagang terbesar AS itu sekali gus meningkatkan perang perdagangan yang dijangka menggegarkan pasaran dunia.