SHAH ALAM, 5 MEI: Kerajaan bersetuju meningkatkan jaminan berjumlah RM1 bilion menerusi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan isu tarif Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga akan menambah dana pembiayaan mudah sebanyak RM500 juta melalui institusi pembangunan kewangan untuk manfaat usahawan PKS yang terjejas.
“Ini (menambah dana pembiayaan) akan dipantau khususnya dengan syarikat PKS," katanya pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif timbal balik AS di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu PKS menembusi pasaran baharu.
Menurutnya, kerajaan terus menggalakkan usaha menarik perniagaan dan modal insan khususnya dalam bidang seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk ahli akademik daripada universiti terkemuka.
“Sememangnya kita telah pun mula menerima penzahiran minat untuk berpindah ke Malaysia daripada tokoh dalam bidang sains dan profesional,” katanya.
Terdahulu, Anwar membentangkan beberapa cadangan dan strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana.
April lalu, AS mengumumkan akan melaksanakan tarif 24 peratus terhadap produk eksport dari Malaysia sebagai sebahagian daripada tindakan perdagangan untuk melindungi industri tempatan mereka.
Tindakan termasuk kepada beberapa rakan dagang terbesar AS itu sekali gus meningkatkan perang perdagangan yang dijangka menggegarkan pasaran dunia.