GOMBAK, 4 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menganjurkan Program Insan Rabbani bagi membimbing 2,474 bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) kembali kepada ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusinya Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata seramai 1,064 peserta dewasa dan 1,410 kanak-kanak mengikuti program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor setiap Ahad sejak 15 Februari lalu hingga Ogos ini di tiga sekolah dan sebuah masjid.
[caption id="attachment_699634" align="aligncenter" width="802"] Pengurusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Seri Setia Salehuddin Saidin bertemu media selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Program Insan Rabbani di Sekolah Rendah Agama Bandar Country Homes, Rawang, Gombak pada 4 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Program ini terbuka kepada bekas ahli GISBH yang sukarela, jika dipaksa kita bimbang besar kemungkinan mereka tidak menerima proses perubahan itu secara ikhlas.
“Kita berharap program ini dapat memberi ruang kepada ahli GISBH untuk bertaubat, memulihkan akidah dari fahaman menyeleweng dan kembali kepada ajaran ahli sunnah wal jamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Program Insan Rabbani di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Country Homes, Rawang, hari ini.
[caption id="attachment_699632" align="aligncenter" width="718"] Pengurusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Seri Setia Salehuddin Saidin menyerahkan cek cura kepada wakil bekas ahli di Majlis Ramah Mesra bersama peserta Program Insan Rabbani di Sekolah Rendah Agama Bandar Country Homes, Rawang, Gombak pada 4 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Menurut Salehuddin, program berkenaan merangkumi dua fasa iaitu pemulihan dan pemantapan akidah, selain pemantauan berkala setiap enam bulan bagi memastikan peserta tidak kembali kepada fahaman menyeleweng.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan bantuan fidyah berupa 350 kotak makanan kering bernilai RM77,700 kepada penerima yang memerlukan.
Sebanyak 200 kotak diagihkan kepada SRA Bandar Country Homes sementara SRA Sijangkang, SRA Sungai Kantan dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah masing-masing 50 kotak.
Bantuan tersebut merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, gula, tepung gandum, kicap manis dan susu pekat.
[caption id="attachment_699633" align="aligncenter" width="721"] Seorang peserta sedang membawa bantuan Fidyah Majlis Agama Islam Selangor di Majlis Ramah Mesra bersama peserta Program Insan Rabbani di Sekolah Rendah Agama Bandar Country Homes, Rawang, Gombak pada 4 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]