Oleh Ufairah Tarmidzi
KLANG, 4 MEI: Pertama kali turun ke sungai menyertai program pembersihan Sungai Klang membuka mata Mohammad Yuzairie Mohd Yunus, 24.
Penuntut Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu menyaksikan sendiri kesan pembuangan sampah haram di sungai berkenaan.
"Saya teruja kerana ini kali pertama saya sertai program pembersihan sungai dan terkejut kerana melihat sendiri kesan pembuangan sampah haram di Sungai Klang.
"Program ini membuka mata saya mengenai betapa pentingnya kita memelihara kebersihan sungai dan alam sekitar kerana ia bukan saja sebagai sumber bekalan air tetapi juga untuk manfaat kita dan generasi akan datang," katanya ditemui dalam program River Ranger 2.0 di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Udang, Klang semalam.
[caption id="attachment_699609" align="aligncenter" width="1306"] Mohammad Yuzairie Mohd Yunus, 24, (kanan) dan Muhammad Azam Mohd Najri, 21, (kiri) ditemui ketika Program River Ranger 2.0 :River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang, pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR.[/caption]
Berlangsung dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, program itu turut disertai warga Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) serta penduduk sekitar.
Selain gotong-royong, turut berlangsung pertandingan kutipan sampah, demonstrasi pembuatan enzim EM dan bebola lumpur, kuiz alam sekitar serta aktiviti kitar semula.
Penuntut lain, Muhammad Azam Mohd Najri, 21, berkata program seperti itu perlu diperluaskan ke peringkat lebih tinggi kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat.
“Penjagaan alam sekitar ini sangat penting untuk manusia dan haiwan kerana jika ia tercemar, kita tidak dapat memperoleh manfaat sekali gus memberi ancaman terhadap persekitaran.
“Saya berharap pihak atasan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memberi sokongan sepenuhnya kepada pelajar dan institusi pendidikan untuk melaksanakan program pembersihan sungai ini bagi melestarikan alam sekitar,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Program River Ranger 2.0, Nur Izzah Insyirah Hashim, 24, berkata dalam program itu mereka menghasilkan bebola lumpur mengandungi mikroorganisma baik dalam membantu memulihkan ekosistem sungai.
"Kami menggunakan bebola lumpur sebagai salah satu kaedah rawatan semula jadi untuk pencemaran air seperti yang diperkenalkan Kelab Warisan Sungai Klang sebelum ini.
“Selain itu, objektif utama adalah memberi kesedaran terhadap isu pencemaran sungai dan peranan individu dalam usaha pemulihan yang membawa impak positif kepada komuniti serta ekosistem sungai yang semakin terancam,” tambahnya.
[caption id="attachment_699610" align="aligncenter" width="1283"] Nur Izzah Insyirah Hashim,24 (kanan) menunjukkan cara pembuatan bebola lumpur ketika Program River Ranger 2.0 :River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang, pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699608" align="aligncenter" width="1195"] Penuntut UiTM bersama sukarelawan MBDK mengutip sampah di sekitar Sungai Klang ketika Program River Ranger 2.0 :River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699614" align="aligncenter" width="1213"] Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain bersama peserta ketika program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_699500" align="aligncenter" width="1104"] Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain bersama sukarelawan melontar bebola lumpur (mudball) ke dalam sungai ketika Program River Ranger 2.0: River Cleanup di Kampung Sungai Udang, Klang pada 3 Mei 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]