KLANG, 4 MEI: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mengubah nasib empat sekawan sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Datang dari keluarga kurang mampu, kekecewaan mereka tidak dapat mengikuti kelas tambahan di luar terubat, apabila terpilih mengisi kuota kelas PTRS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang.
Menurut Aidil Muhammad Johar Saiful Izwan,18, kejayaan menempa A+ bagi mata pelajaran Sejarah dalam SPM 2024, sangat menggembirakan dirinya, yang sering mendapat markah cukup makan dalam subjek wajib lulus itu sebelum ini.
[caption id="attachment_699539" align="alignleft" width="535"] Aidil Muhammad Johar Saiful Izwan ,18, ketika ditemui di SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sebelum sertai PTRS, markah Sejarah dapat D atau E, tapi lepas sertai PTRS saya dapat A+. Bahasa Inggeris pun sering gagal sebelum ini, tapi lepas PTRS, peningkatan sangat ketara, A+ dalam SPM,” katanya yang meraih keputusan 5A dalam SPM 2024.
Bagi Muhammaad Fahrin Akimi Mohd Nasrudin,18, sering mendapat E dalam subjek Matematik membuatkannya bersungguh-sungguh menggali ilmu menerusi kelas PTRS.
“Sebelum sertai PTRS, Matematik memang jatuh teruk, dapat 18 markah saja. Bila sertai PTRS, setiap kali peperiksaan naik sedikit demi sedikit seperti C dan D, SPM terus dapat A. Memang bersyukur sangat bila ada PTRS ini,” katanya.
[caption id="attachment_699540" align="alignright" width="598"] Muhammad Fahrin Akimi Mohd Nasrudin,18, ketika ditemui di SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bagi Mohamad Adrie Jan Yakub Abdul Rahim,18, peningkatan ketara keputusan peperiksaan mereka berempat memang banyak disumbang program kendalian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu.
“Kami memang kawan rapat. Belajar sama-sama, jadi saya boleh nampak kawan-kawan dan saya tunjukkan peningkatan. Bila dalam kelas, kita duduk sama-sama dan belajar bersama, ulangkaji setiap soalan dan bincang,” katanya yang meraih 8A dalam SPM 2024.
[caption id="attachment_699549" align="alignleft" width="543"] Mohamad Adrie Jan Yakub Abdul Rahim,18, ditemui di SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bagi Muhammad Zul Wafiq Mohd Zain, 18, yang sering mengikuti tuisyen percuma di platform dalam talian, PTRS sangat membantunya memahami subjek Matematik kerana boleh belajar lebih fokus dan mendalam.
“Saya rasa sedih juga tidak dapat ikuti tuisyen di luar, jadi alternatif saya sertai yang percuma di TikTok. Tapi bila dapat sertai PTRS, saya gembira sebab ia beri peluang untuk saya tingkatkan kemampuan dalam SPM,” katanya.
[caption id="attachment_699546" align="alignright" width="565"] Muhammad Zul Wafiq Mohd Zain ,18, ditemui di SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, Pengetua SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang Nik Mohd Shafizal Nik Jid berkata PTRS dilihat antara penyumbang utama peningkatan pencapaian sekolah berkenaan untuk SPM 2024, yang mana ia antara terbaik sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
“Secara puratanya, daripada lima tahun pencapaian kita pada sebelum ini, tahun lepas sejarah, untuk lima tahun peningkatan (melibatkan pelbagai perkara) sama ada layak menerima sijil, mahupun pencapaian Gred Purata Sekolah.
[caption id="attachment_699550" align="alignleft" width="538"] Pengetua SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang Nik Mohd Shafizal Nik Jid bercakap kepada Media Selangor di SMK Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selain itu, 35 pelajar kelas PTRS, lulus 100 peratus enam subjek yang ditawarkan di bawah program itu, malah ada di antaranya catat kecemerlangan,” katanya.
[caption id="attachment_699537" align="aligncenter" width="1147"] Empat sahabat yang mengikuti Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Hamzah Pelabuhan Klang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024. Dari kiri Muhammad Zul Wafiq Mohd Zain, Aidil Muhammad Johar Saiful Izwan, Muhammaad Fahrin Akimi Mohd Nasrudin dan Mohamad Adrie Jan Yakub Abdul Rahim ditemui pada 29 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]