ad
AGENDA

TH: Jemaah haji dinasihat rujuk sumber rasmi untuk perkembangan terkini

3 Mei 2025, 5:30 AM
TH: Jemaah haji dinasihat rujuk sumber rasmi untuk perkembangan terkini

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 3 MEI: Jemaah haji Malaysia bagi musim 1446H/2025M dinasihat tidak mudah mempercayai sebarang maklumat berkaitan ibadah haji yang disebarkan melalui media sosial, sebaliknya merujuk kepada saluran media rasmi Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Media TH Mohamad Naser Jaafar berkata langkah itu penting bagi memastikan jemaah haji menerima maklumat tepat dan terkini berkaitan pergerakan serta operasi haji sepanjang musim ini.

“Memandangkan terdapat pelbagai platform media sosial pada masa kini, jemaah haji serta rakyat Malaysia disaran hanya mengikuti saluran media yang diiktiraf bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini.

"Ini termasuk maklumat menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), TV Alhijrah, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan media sosial rasmi TH,” katanya kepada media di Ibu Pejabat TH Makkah di sini.

Mohamad Naser memberi jaminan bahawa liputan menyeluruh dan maklumat terkini akan sentiasa disampaikan oleh TH, termasuk mengenai pergerakan jemaah, ibadah, bimbingan, logistik serta aspek kesihatan dan keselamatan sepanjang musim haji ini.

Mengenai operasi liputan media bagi musim haji tahun ini, beliau berkata ia dijangka mengambil masa 52 hari, merangkumi keseluruhan perjalanan jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci, termasuk ketika jemaah berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina.

Beliau berkata kemuncak liputan adalah pada hari wukuf yang dijangka 5 Jun bersamaan 9 Zulhijjah dan setelah selesai keseluruhan manasik atau tatacara pelaksanaan haji, tumpuan seterusnya adalah berkaitan pergerakan pulang jemaah ke tanah air.

"Ini dijangka berlaku dalam tempoh seminggu selepas ibadah kemuncak haji selesai,” katanya.

Mohamad Naser memaklumkan seramai 19 petugas media TH, termasuk 14 pengamal media selesai menunaikan ibadah umrah pertama sebaik tiba di sini setelah menempuh lapan jam perjalanan dari Madinah dan miqat di Bir Ali.

“Ada dalam kalangan kami yang menunaikan umrah buat kali pertama dan ia satu pengalaman sangat bermakna. Insya-Allah, operasi media akan diteruskan di Makkah dengan strategi lebih tersusun serta memberi tumpuan kepada liputan menyeluruh dan menyentuh pelbagai aspek penting ibadah haji,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.