ad
AGENDA

PM: Kerajaan pergiat usaha sokong anak seni hasil karya terbaik

3 Mei 2025, 5:00 AM
PM: Kerajaan pergiat usaha sokong anak seni hasil karya terbaik

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha menyokong anak seni tempatan agar mereka mampu menghasilkan karya terbaik dan bermutu tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen kerajaan itu antara dibincangkan ketika pertemuan dengan seniman Datuk M Nasir di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

"Semalam saya terima kunjungan seniman ulung Datuk M Nasir di Putrajaya. Dalam pertemuan ini kami bicara soal industri kreatif, seni dan budaya tempatan," katanya menerusi catatan di Facebook.

Perdana menteri berkata beliau juga menitipkan pesanan kepada M Nasir agar dapat terus kreatif berkarya dalam industri muzik tanah air.

M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed, 67, yang sinonim dengan karya berintelektual dan berunsur ketuhanan, dianggap antara tokoh paling berpengaruh dalam perkembangan muzik dan seni kreatif Malaysia.

Selain sebagai penyanyi dan komposer, beliau turut dikenali sebagai pelakon, penulis lirik dan pengarah seni yang banyak menyumbang kepada pengukuhan identiti budaya dalam dunia hiburan tempatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.