KUALA LANGAT, 3 MEI: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjadi talian hayat terutama buat pelajar dari keluarga kurang mampu untuk mengikuti kelas tambahan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pelajar, Wan Nur Humaira Wan Mohd Farizal, 18, berkata peluang ditempatkan dalam kelas PTRS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra sebagai rezeki tidak ternilai, sehingga berjaya meraih keputusan cemerlang dengan semua A dalam lapan mata pelajaran diambil.
Mengakui modul pembelajaran PTRS sangat komprehensif, Wan Nur Humaira turut berkongsi kejayaannya memperoleh gred A dalam subjek matematik, meski sebelum ini pernah gagal dalam ujian percubaan bagi mata pelajaran tersebut.
“Memang tak jangka, sebab keputusan ujian percubaan tak memuaskan, jadi bila tengok keputusan SPM memang terus menangis (kegembiraan). PTRS memang banyak tolong, terutama matematik, banyak formula yang kami belajar.
[caption id="attachment_698890" align="aligncenter" width="693"] Pelajar Wan Nur Humaira Wan Mohd Farizal, 18, menunjukkan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) kepada ibunya Normazni Ghazali, 44 (tengah) dan bapanya Wan Mohd Farizal Wan Yusoff, 43, di kediaman mereka di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat pada 25 April 2025. FOTO SUHAILA SHAHRU ANNUAR/ MEDIA SELANGOR[/caption]
“Modul PTRS yang kita dapat, pada saya yang terbaik matematik, sains dan Bahasa Melayu dengan contoh karangan dalam buku PTRS memang bagus daripada pelajar terbaik.
“Kelas PTRS ni banyak membantu. Seperti dapat ‘laptop’ jadi kami boleh ikuti kelas, buat kuiz, semuanya menggunakan laptop dari PTRS,” katanya ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, tidak dapat dinafikan sedih apabila keinginan mengikuti tuisyen di luar seperti rakan lain terpaksa dipendam berikutan kekangan kewangan namun ia bukan penghalang untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Kawan lain masuk tuisyen, memanglah nak. Tapi nanti ibu ayah terbeban. Bila terpilih masuk PTRS, waktu itu memang nekad dalam diri, sudah dapat yang percuma, buat yang terbaik. Memang tak pernah tinggal kelas melainkan kecemasan.
“Dalam kelas PTRS, kelainannya cikgu akan fokus kepada sesuatu subjek. Cikgu banyak tekankan, ulang tajuk sama, suruh buat kuiz dan dua bulan sebelum SPM memang bersungguh-sungguh. Saya juga biasa tidur dulu, kemudia bangun semula jam 2 atau 3 pagi untuk ulang kaji,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Wan Nur Humaira, Normazni Ghazali, 44, berkata rasa sedih tidak dapat menunaikan hasrat anaknya yang mahu mengikuti kelas tuisyen di luar terubat dengan wujudnya PTRS.
Beliau yang bekerja sambilan sebagai juruwang di sebuah pasar raya bagi membantu menampung perbelanjaan keluarga serta meringankan beban suaminya, Wan Mohd Farizal Wan Yusoff, yang bekerja sebagai kerani mengakui program itu antara penyumbang kecemerlangan anaknya.
“Dia memang ada minta nak pergi hantar tuisyen, tapi saya cakap terus terang kita memang tak mampu. Bila survey satu subjek pun RM50, terus terang saya cakap tak mampu. Cuma saya pujuk dia, saya cakap semuanya bergantung atas diri kita orang dulu-dulu pun tiada tuisyen boleh berjaya juga,” katanya.
Bapanya, Wan Mohd Farizal berkata PTRS memang wajar dan harus diteruskan terutama bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan tambahan akses kepada pendidikan.
“Saya memang berterima kasih dan bersyukur sangat-sangat. Sebab anak saya ini memang saya tak hantar dia mana-mana tuisyen pun, sebab tak cukup (kewangan). Daripada segi saya sendiri dan isteri membantu pun, tidak cukup tampung komitmen dengan empat anak yang kesemua masih belajar dan sekolah,” katanya.
PTRS adalah bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan matematik tambahan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 200,000 pelajar tingkatan empat dan lima disasar menerima program itu dalam tempoh lima tahun.
Menurut Amirudin PTRS dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama peningkatan bilangan pelajar di Selangor yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran SPM tahun ini.
Menurutnya, langkah intervensi menerusi program membantu peningkatan gred cemerlang dari 2,368 (3.65 peratus) tahun ini banding 2,005 calon (3.15 peratus) pada tahun lalu.
[caption id="attachment_657528" align="aligncenter" width="1276"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menunjukkan aplikasi e PTRS ketika melawat pameran selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]