ad
BUDAYA

Segala terkandung dalam tanah

3 Mei 2025, 12:30 AM
Segala terkandung dalam tanah

Oleh Mudin Haiqal

Ilustrasi Fahmi Mustaffa

 

“Ish! Sudahlah busuk. Dari tanah pun asalnya, patutlah.”

“Kotor berlendir. Aku nak sentuh pun geli!”

Suara-suara itu berbisik daripada celah bayang mencemuh engkau tanpa hati perut. Engkau mendiamkan diri. Bukan kerana pasrah, tetapi kerana sudah terlalu biasa. Kata-kata mereka itu bukan lagi anak panah yang terkena tepat ke dalam kalbu.

Ada masanya engkau sedar diri yang warna kulitmu pula tidak pernah menarik perhatian. Merahnya bukan merah menyala yang menggoda seperti buah larangan di taman firdausi. Ia merah pudar yang kadang disalah sangka. Mereka sangka tubuh engkau lebam, hampir rosak dan layak dibuang ke dalam plastik hitam.

Bukan! Engkau bukannya epal. Jangan perasan. Dan tidak juga berkulit putih seperti saudara dekatmu yang sering dianggap lebih berguna. Dipuja di dapur-dapur Barat sana. Dihidangkan bersama roti panas dan dicelup ke dalam sup cendawan yang dihirup perlahan oleh mereka yang duduk di meja kayu dengan lilin bernyala di sisi.

Saudara engkau itu juga ada kisah agungnya yang tersendiri. Kononnya, makhluk bersiong tajam yang menghisap darah pun lari apabila mendekati saudara engkau itu. Tapi engkau? Siapalah yang takut akan engkau yang picisan? Sebaliknya mereka menjauhkan diri daripada engkau. Sebab engkau buat mata mereka pedih.

Namun engkau tidak ada sekelumit perasaan cemburu. Engkau sudah lali dengan cemuhan mereka. Cuma kadang-kadang engkau terfikir. Adakah nilai itu hanya hadir bila seseorang itu boleh menakutkan syaitan, atau menjadi teman pada malam makan malam yang sunyi? Ada waktu, engkau termenung jauh sambil memikirkan, siapalah yang akan memandang engkau dengan penuh keadilan.

Realitinya hanya tangan mereka rajin menyiat kulit engkau sahaja. Kemudian engkau dicampak ke dalam satu pusaran yang mendidih dan berapi. Nama pusaran itu kuali panas kata mereka. Tetapi bagimu ia seperti neraka kecil ciptaan manusia yang kononnya tahu apa itu rasa. Mereka tidak tahu hangus itu sakit dan lecur itu kekal. Sampailah tubuh engkau itu lembik.

Api itu menjilat tubuhmu tanpa tahu apa erti kasihan. Minyak bergelora itu bakal menghukum engkau tanpa bicara. Sesekali pula, tidak semena-mena engkau dijadikan bahan perumpamaan. Mereka kata engkau lemah. Mereka kata engkau tak mampu bertahan.

Kata-kata itu berbunyi seperti, “Iman engkau itu senipis kulit bawang!” Begitulah mereka berkata. Separuh bisik, separuh menyembur. Seperti engkau ini contoh paling mudah disebut-sebut dalam bicara sinis mereka tentang lemah. Engkau tidak minta nama engkau dipetik, tapi entah mengapa, ia sering muncul di hujung lidah mereka bila bercakap tentang rapuhnya pegangan dan goyahnya jiwa.

“Bersabarlah! Engkau harus yakin bahawa kewujudanmu di dunia ini bukan sia-sia. Ada sebab engkau dijadikan. Dan sudah pasti lahirnya engkau di dunia ini ada manfaat yang hanya engkau sahaja mampu beri.” kataku perlahan.

Aku cuba memujuk. Aku tiba-tiba bersimpati kepada engkau. Dengan sedaya upaya aku cuba menampal semangat yang tampak makin lusuh pada wajahmu yang sejak tadi hanya tunduk, diam dan monyok. Dan walaupun engkau sudah terbiasa dengan tudingan jari yang berbisa itu, masih ada sedikit luka yang tidak berdarah setiap kali mendengar.

Mereka lupa atau mungkin tidak pernah tahu bahawa nipis itu tidak bererti tidak berguna. Bahawa lapisan paling halus itu jugalah yang mula-mula menahan panas, mula-mula menyerap bau, dan mula-mula tercarik dari tubuh. Nipis bukan tanda lemahnya jiwa tetapi tanda engkau paling awal menanggung rasa.

Tapi engkau tahu, segala yang tertanam dalam tanah menyimpan rahsia. Dan tidak semua yang busuk di luar, buruk isinya.

Dan engkau tahu, segala yang tertanam dalam tanah menyimpan rahsia. Tidak semua yang busuk di luar, buruk isinya. Ketika engkau hampir menerima takdirmu sebagai sesuatu yang hanya dikopek, disiat dan dibuang, engkau terdengar satu suara. Lantang dari dapur kecil di hujung dunia sana. Suaranya kedengaran seperti seorang perempuan.

“Kenapa rendang ini rasa dia kosong?”

Hening seketika.

“Err, mungkin sebab lupa letak yang itu…” ada satu suara kecil yang menjawab dengan ragu-ragu sambil menuding jari ke arah engkau. Ya sekali lagi engkau dipersalahkan. Atau tidak?

“Itu apa?” suara wanita itu naik satu oktaf.

“Itulah yang bagi naik bau! Kalau tak ada yang ini macam mana nak ada rasa! Benda paling asas pun kau boleh lupa?” sekali lagi suara wanita itu melambung ke siling.

Bunyi sudu berlaga periuk. Langkah tergesa.

Engkau terdiam. Ada sesuatu dalam cara dia menyebut “yang paling asas” membuatkan dada engkau bergetar perlahan. Entah kenapa, kau terasa seperti diseru walaupun tidak disebut nama. Engkau tidak dilupa kerana tiada nilai. Sebaliknya engkau hanya dilupakan kerana manusia alpa. Dan akhirnya, merekalah yang terasa kehilangannya.

Bukan kerana engkau ingin diagungkan. Cukup sekadar difahami bahawa kewujudanmu membawa makna biarpun kecil dan tidak disebut. Barulah engkau benar-benar tahu: ada waktunya, kehilangan kecil itulah yang membuatkan sesuatu jadi hambar. Dan pada petang itu, setelah semuanya kecoh dan riuh. Api pun sudah dikecilkan, periuk ditanggalkan tudungnya, engkau akhirnya dipanggil ke lokasi kejadian.

Tubuh engkau dibelah perlahan. Dicincang halus lalu dimasukkan ke dalam minyak panas yang sedang menggelegak. Dua beranak itu tergesa-gesa mencampakkan engkau ke dalam kuali yang panas. Aku yakin, engkau pasti mengharapkan engkau digunakan secara tertib. Tidak sama sekali. Jangan sesekali impikan yang itu. Tapi percayalah, ia sudah cukup. Akhirnya engkau diperlukan jua.

Dalam diam, engkau menyatu bersama rempah, santan dan daging yang dipotong bentuk dadu.

Engkau tidaklah menjadi watak utama kerana daginglah watak utama. Tapi tanpa engkau, tiada harum yang menusuk serta tiada rasa yang lengkap. Akhirnya, engkaulah yang menyempurnakan.

Saat itu jugalah, engkau mengerti. Segala yang terkandung dalam tanah tidak pernah sia-sia.

Semua punya peranan yang tersendiri. Bahkan yang berkulit nipis, yang berbau tengik, yang pernah dihina dan dilupakan (itulah engkau) akhirnya tetap juga menjadi pelengkap kepada rendang hari raya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.