ad
AGENDA

Fomca gesa tingkat pemantauan harga telur, pastikan rakyat tidak terbeban

2 Mei 2025, 9:00 AM
Fomca gesa tingkat pemantauan harga telur, pastikan rakyat tidak terbeban
Fomca gesa tingkat pemantauan harga telur, pastikan rakyat tidak terbeban

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 2 MEI: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa kerajaan mempertingkat pemantauan terhadap harga telur susulan pengurangan subsidi, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) tidak terkesan secara mendadak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saravanan Thambirajah berkata langkah itu penting menandangkan telur antara sumber protein asas utama rakyat, termasuk kumpulan B40 yang sudah pun berdepan tekanan inflasi.

“Sekalipun subsidi perlu dirasionalisasi, ia tidak seharusnya mengorbankan kesejahteraan pengguna, khususnya B40,” katanya ketika dihubungi Media Selangor hari ini.

Bermula semalam, kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen sebiji, sebelum dimansuhkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam kekal mencukupi dan stabil, susulan kos pengeluaran yang telah menurun.

[caption id="attachment_693489" align="aligncenter" width="743"] Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holding Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin meninjau harga telur ketika hadir pada Program Singgah MADANI di MYDIN Subang Jaya Hypermarket pada 27 March 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Saravanan berkata berdasarkan unjuran semasa, harga telur gred C dijangka meningkat daripada RM0.50 kepada RM0.70 sebiji, sekali gus memberi kesan ketara kepada perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah.

Tambah beliau, pemantauan rapi perlu dilaksanakan bagi mengelak manipulasi harga oleh peniaga tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan atas pelarasan dasar tersebut.

“Fomca tidak akan berdiam diri dalam mencegah pencatutan dan akan melakukan tindakan sewajarnya. Dalam masa sama, pengguna juga perlu memainkan peranan dengan melaporkan sebarang ketidakpatuhan harga kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,” katanya.

Fomca turut mencadangkan agar bantuan bersasar disalurkan kepada kumpulan terkesan melalui sistem sedia ada seperti e-Kasih atau inisiatif di peringkat negeri, bagi memastikan tiada rakyat tercicir dalam pelaksanaan reformasi subsidi.

“Kami menyokong penstrukturan semula subsidi, namun ia perlu dilakukan secara berperingkat dengan komunikasi jelas dan pemantauan ketat. Akses kepada makanan asas seperti telur tidak boleh dikompromi,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran pengguna, Fomca turut melaksanakan kempen pendidikan bagi menggalakkan orang ramai lebih peka terhadap hak mereka dalam pembelian barangan keperluan harian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.