ad
BERITA UTAMA

Penetapan sistem hukum al-Quran, hadis tolak amalan jahiliah

2 Mei 2025, 5:00 AM
Penetapan sistem hukum al-Quran, hadis tolak amalan jahiliah

Al-Quran dan hadis asas rujukan umat Islam. Dalam ayat ke-59 surah al-Nisa’ (4), al-Quran menyatakan: “Jika kamu bertelagah pada sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya”

Kedua-dua sumber Islam ini sebagai panduan dalam sistem kehidupan. Ia bukan sekadar kitab suci yang menjelaskan hal ehwal ibadat khusus, malah ia menjelaskan segenap kehidupan.

Hukum-hukum yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah dapat diringkaskan seperti berikut:

Pertama, keimanan kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya, hari akhirat dan takdir baik serta buruk-Nya termasuk keimanan kepada perkara ghaib seperti kebangkitan, perhimpunan, perhitungan, balasan, syurga dan neraka. Ini dikenali sebagai akidah.

Kedua, hukum berkaitan hubungan hamba dengan Tuhannya dalam ibadah kepada Allah semata-mata meliputi solat, zakat, puasa, haji serta syarat, rukun dan amalan sunat. Ia dikenali sebagai ibadat.

Ketiga, hukum berkaitan sistem kekeluargaan dan kehidupan rumah tangga meliputi perkahwinan, mas kahwin, khulu‘, talak, hak dalam kehidupan perkahwinan, penyusuan, nafkah, pusaka, serta perkara berkaitan dengannya. Hal ini kini disebut sebagai hukum kekeluargaan.

Keempat, hukum berkaitan urusan sesama manusia terutama dalam transaksi kewangan seperti jual beli, riba, pinjaman, gadaian, jaminan, wakalah, syarikat, muzara‘ah, sewaan, rampasan harta, syuf‘ah, prinsip Islam dalam sistem ekonomi. Ini dikenali sebagai muamalat.

Kelima, hukum berkaitan sistem pemerintahan dan hubungan pemimpin dengan rakyatnya termasuk hak dan tanggungjawab masing-masing seperti kepimpinan (imamah), kementerian, pentadbiran wilayah, kehakiman dan seumpamanya. Ia dikenali sebagai "siyasah syar‘iyyah".

Keenam, hukum berkaitan hukuman terhadap penjenayah meliputi qisas (balasan setimpal), diyat (pampasan), hudud (yang ditetapkan), dan ta‘zir (budi bicara). Ini disebut "al-‘Uqubat.”

Ketujuh, hukum berkaitan hubungan antara negara melibatkan perdamaian, peperangan, jaminan keamanan, perjanjian damai, pertempuran dan pembahagian harta rampasan perang. Dalam Islam, ia dikenali sebagai "jihad dan sirah."

Kelapan, hukum berkaitan makanan, minuman, pakaian serta apa yang dihalalkan dan diharamkan oleh Islam. Asas dalam perkara ini bahawa ia termasuk dalam perkara yang dibolehkan (mubah).

Kesembilan, adab sosial dan nilai akhlak mulia seperti adab berdoa, adab dalam majlis, ziarah, memberi salam, meminta izin, makan, minum serta galakan kepada akhlak terpuji seperti tawaduk, kesabaran, kejujuran, sifat malu, kerjasama, amanah, menjaga hak jiran, memuliakan tetamu, berkasih sayang sesama Muslim dan larangan terhadap sifat tercela. Ini dikenali sebagai "akhlak".

Kedatangan syariat

Apabila semua ini kandungan yang diajar oleh al-Quran dan al-Hadis, makanya kedua-dua kitab ini juga menolak hukum-hukum yang dianggap sebagai jahiliyyah.

Syariat Islam datang ketika bangsa Arab memiliki kepercayaan, amalan, adat dan kebiasaan tertentu. Apa sahaja yang baik dan bermanfaat diperakui dan diperbaiki. Namun, yang buruk dan merosakkan diharamkan serta dibatalkan. Berikut perkara utama yang dibatalkan:

Pertama, kepercayaan berhala, syirik dan tahyul serta menolak pengingkaran terhadap ayat-ayat Allah, kebangkitan selepas mati, mempercayai malaikat adalah anak-anak perempuan Allah dan sebagainya.

Kedua, perbuatan keji seperti membunuh anak-anak kerana takut kemiskinan dan menanam hidup-hidup anak perempuan kerana takutkan aib.

Ketiga, perkahwinan dalam era jahiliah seperti sekumpulan lelaki (kurang daripada sepuluh) akan bersama seorang wanita secara bergilir. Apabila wanita itu mengandung dan melahirkan anak, dia akan memanggil mereka lalu menyatakan: “Anak ini adalah anakmu, wahai si fulan,” dan memberi nama kepada sesiapa yang dia sukai. Atau, seperti seorang lelaki berkata kepada isterinya selepas bersih dari haid: "Pergilah kepada si fulan untuk mengandung daripadanya." Suaminya akan menjauhinya sehingga jelas kehamilannya. Tujuan amalan ini untuk mendapatkan keturunan yang dianggap mulia.

Keempat, sistem anak angkat yang diteruskan pada permulaan Islam sehingga turunnya firman Allah SWT dalam ayat ke-4 hingga 5 surah al-Ahzab (33) yang melarang anak angkat diberi bin dengan bapa angkat.

Kelima, pengharaman arak, judi, berhala, dan azlam (anak panah ramalan) walaupun pengharaman arak dilakukan secara berperingkat.

Keenam, keangkuhan sesetengah kabilah terhadap kabilah lain dalam urusan qisas dan diyat iaitu mereka melebih-lebihkan hak mereka dengan menjadikan luka-luka dan diyat mereka dua kali ganda daripada luka-luka dan diyat pihak lawan.

Ketujuh, amalan zihar dianggap talak: Pada zaman Jahiliah, zihar (mengatakan kepada isteri “kamu bagiku seperti punggung ibuku”) dianggap sebagai talak. Perkara ini berterusan sehingga turun ayat pada permulaan surah Al-Mujadilah yang menghapuskan amalan ini.

Kelapan, amalan ila’ dalam jahiliah berlangsung setahun, dua tahun atau lebih lama: Islam kemudian menetapkan tempoh maksimum ila’ (sumpah suami untuk tidak menyentuh isterinya) selama empat bulan. Jika suami kembali kepada isterinya sebelum tempoh itu berakhir, dia perlu membayar kaffarah sumpah. Jika tempoh itu berlalu tanpa suami menyentuh isterinya, pemerintah akan memintanya memilih antara kembali (rujuk) atau menceraikan isterinya.

Kesembilan, amalan Quraisy dan pengikut mereka berwukuf di Muzdalifah: Mereka tidak berwukuf di Arafah kerana menganggap dirinya lebih mulia dan mereka dikenali sebagai "Hums". Sementara itu, bangsa Arab lainnya berwukuf di Arafah. Apabila Islam datang, Allah memerintahkan Nabi Muhammad untuk berwukuf di Arafah.

Kesepuluh, amalan riba berlipat ganda: Pada zaman Jahiliah, mereka menghalalkan riba yang berlipat ganda sehingga turun ayat yang mengharamkannya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.