SHAH ALAM, 2 MEI: Bayaran sewa rumah kepada baki lebih 200 mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights dijangka diselesaikan minggu hadapan.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata mangsa yang masih belum menerima bayaran sewa disebabkan dokumen tidak lengkap antaranya tiada nombor akaun bank.
“Kebanyakan mangsa tidak memberikan nombor akaun kerana risaukan ‘scammer’… namun mereka percaya selepas kumpulan pertama 70 mangsa menerima bayaran sewa rumah untuk tiga bulan.
[caption id="attachment_699339" align="alignleft" width="402"] EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah bercakap kepada media selepas pelancaran Festival Makanan Mega Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 1 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kita yakin bayaran kepada semua mangsa dapat diselesaikan minggu depan dan pejabat daerah sedang memproses segala dokumen sebelum wang dimasukkan terus ke dalam bank,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis perasmian Festival Makanan Mega Selangor 2025 sempena Tahun Melawat Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.
Semalam, Dato’ Menteri Besar memaklumkan sejumlah RM2.73 juta diperuntuk bagi bayaran sewa rumah mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, dana itu disalurkan kepada 455 keluarga dengan masing-masing menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini.
Katanya, bantuan sewaan telah diserahkan tiga fasa dengan keseluruhannya 214 menerimanya, selebihnya sedang menunggu dokumen lengkap termasuk kad pengenalan.