ad
AGENDA

GLIC laksana dasar gaji kehidupan wajar untuk rakyat tempatan

1 Mei 2025, 8:23 AM
GLIC laksana dasar gaji kehidupan wajar untuk rakyat tempatan

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) secara kolektif melaksanakan dasar gaji kehidupan, memastikan semua pekerja tetap warganegara Malaysia kini memperoleh pendapatan melebihi ambang gaji bulanan.

GLIC yang sudah memenuhi komitmen itu termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) serta Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh enam GLIC hari ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah kolektif GLIC untuk melaksanakan gaji kehidupan wajar merupakan langkah penting untuk meningkatkan tahap, memastikan pertumbuhan adalah inklusif dan berakar umbi dalam kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Pelaksanaan gaji kehidupan wajar merupakan sebahagian daripada inisiatif GEAR-uP diterajui Kementerian Kewangan dalam mencari usaha bersinergi merentas GLIC untuk memangkin pertumbuhan dalam sektor ekonomi utama di Malaysia dengan dua objektif ‘meningkatkan siling’ dan ‘menaikkan lantai’ (meningkatkan tahap).

“Penanda aras gaji kehidupan wajar telah ditetapkan pada kira-kira RM3,100 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada gaji minimum bulanan RM1,700 diumumkan dalam Belanajawan 2025 dan dilaksanakan pada 1 Februari 2025,” kata kenyataan itu.

Ia berkata angka itu berdasarkan analisis perbandingan penggajian industri dan piawaian kos sara hidup seperti yang digariskan dalam Panduan Perbelanjaan Belanjawanku 2024/2025.

“Panduan Perbelanjaan Belanjawanku dibangunkan bersama oleh KWSP dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial, Universiti Malaya, menyediakan anggaran perbelanjaan bulanan minimum diperlukan untuk taraf hidup yang baik.

“Pendekatan gaji kehidupan wajar memperkasa majikan untuk menawarkan jumlah pampasan melebihi gaji asas, merangkumi pelbagai manfaat yang meningkatkan kualiti hidup individu termasuk penjagaan kesihatan, pelan persaraan dan mekanisme simpanan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.