SHAH ALAM, 1 MEI: Peranan kerajaan sangat penting dalam menyediakan ekosistem yang mampu mencipta kerjaya dan kekayaan (wealth creation), kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kemasukan pelbagai pelaburan berkualiti termasuk industri digital, menjanjikan pendapatan pekerjaan dan mutu kerja yang tinggi.
Sambil menitipkan ucapan selamat hari pekerja, Amirudin berkata modal insan akan terus diperkasa agar berinovasi dan mampu mengharungi kehidupan seiring era digital yang mengembang.
“Pekerja adalah nadi ekonomi negara. Buat penjaja, penjawat awam, petani, nelayan, usahawan dan semua yang bekerja, selamat hari pekerja,” katanya di Facebook hari ini.
Lebih 10,000 warga kerja dari sektor awam dan swasta dijangka memeriahkan sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2025 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.
Bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, sambutan hari pekerja tahun ini menzahirkan pengiktirafan terhadap peranan penting pekerja sebagai tulang belakang negara serta pelaksana utama aspirasi kemampanan, keadilan dan kesejahteraan.