Oleh Aida Nyan & Abdul Rahim Sabri
Di sebalik kerancakan sektor e-panggilan, keluhan golongan pekerja dari dulu hingga kini belum ada kesudahannya. Dari isu struktur perkhidmatan hingga soal kebajikan, penyelesaian tuntas masih terawang-awang.
Pekerja dihimpit pelbagai bebanan antaranya masalah berkaitan keselamatan, bayaran insurans, tambang penghantaran, kos penyelenggaran kenderaan, kesihatan dan fleksilibiti masa
Justeru, mereka begitu berharap penubuhan Suruhajaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) yang kerap diuar-uar benar-benar menjadi kenyataan, bukan slogan atau ungkapan lunak penyedap hati.
Mereka mahu pembentukan SEGiM dipercepat supaya suara mereka didengari, segala masalah yang mencengkam pekerja sekian lama dirungkai satu persatu.
Kegagalan menangani isu termasuk perkara asas bertambah buruk apabila perkhidmatan sama semakin banyak atas pelbagai jenama. Jika dulu hanya ada beberapa, kini ada 33 syarikat e-panggilan berdaftar bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Meski persaingan dilihat baik di mata pengguna, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia (GDMA) Mohd Azril Ahmat menyifatkan suasana tersebut mengeruhkan lagi masalah sedia ada yang tidak selesai-selesai.
Bahkan, pekerja menjadi mangsa dalam persaingan itu. Mereka berebut pelanggan dalam pasaran terhad dan tidak stabil sekali gus mengakibatkan titis keringat pemandu tidak setimpal dengan bayaran.
“Bagi masyarakat, mereka boleh lawan harga (pilih yang murah). Tetapi bagi pemandu, ia tidak berapa praktikal. (Dalam) persaingan antara syarikat, yang menjadi mangsa pemandu itu sendiri. Akhirnya, kita dengar masalah ada pemandu meninggal (dunia) di tepi jalan kerana penat.
“Harapan tinggi untuk mendapatkan duit sedangkan struggle (susah payah) membuatkan pemandu tertekan akhirnya tumbang (sakit atau meninggal dunia),” katanya dalam program Bicara Semasa di Media Selangor sempena Hari Pekerja.
Rungutan utama pekerja antara lain peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan selain perlu membuat pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) atas arahan syarikat pengurusan atau mereka berdepan halangan untuk mencari rezeki.
Pada masa sama, syarikat pula terpaksa mewajibkan pemeriksaan sedemikian ekoran banyak nahas melibatkan pekerja e-panggilan. Situasi tersebut juga menyebabkan insurans e-panggilan dan kenderaan semakin naik.
Tiada garis panduan
Selain menampung semua bayaran itu, pekerja juga disaran mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Meski tidak diwajibkan tetapi ia keperluan penting ekoran nahas mudah terjadi.
Dalam menggalakkan pekerja membuat caruman itu sejak tujuh tahun lalu, GDMA juga berharap Perkeso memperluas kemudahan itu kepada pemandu yang mengalami sakit kronik, bukan tertakluk atas faktor kemalangan sahaja.
“Syarikat ada insurans untuk pemandu kemalangan tapi tambahan ini perlu supaya lebih keselesaan untuk kami terus kekal dalam industri e-panggilan,” kata Mohd Azril lagi.
Beliau percaya kelemahan yang membengkak dalam ekosistem e-panggilan boleh ditangani sedikit demi sedikit jika SEGiM menjadi badan kawal selia ekosistem ekonomi gig.
Pada Disember 2024, SEGiM diusul jemaah menteri demi keseimbangan antara kepentingan penyedia platform, pekerja, pengguna dan semua pihak berkaitan. Selain itu, hak semua pihak dilindungi melalui penguatkuasaan dasar, pemantauan piawaian perkhidmatan dan pemerkasaan kawal selia kendiri.
“Tiada garis panduan tetap daripada kerajaan untuk pemandu dalam bidang ini. Sebab itu, perlu percepat penubuhan SEGiM supaya ada suara dan satu kata putus dibuat segera,” katanya.
Beliau juga menyimpan kebimbangan ekoran sesetengah masyarakat mahu menjadikan kerjaya itu sepenuh masa. Bagi beliau, langkah itu tidak sesuai ekoran ketidaktentuan dalam pasaran industri tersebut.
Lebih-lebih lagi, Mohd Azri meramal tidak mustahil permintaan terhadap perkhidmatan berkenaan berkurangan pada masa depan disebabkan pengangkutan awam semakin maju.