SHAH ALAM, 1 MEI: Kerjasama dan sikap toleransi perlu diterapkan antara majikan dan kakitangan sebagai usaha membentuk kesefahaman seterusnya memberi nilai tambah kepada syarikat.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata aspek itu penting kerana ia menjadi faktor untuk sesebuah organisasi mencapai mutu kualiti seterusnya menjana lebih banyak kejayaan.
“Majikan dan kakitangan memainkan peranan penting. Kedua-duanya ada fungsi dan tanggungjawab. Jadi perlu bekerjasama untuk capai kejayaan.
“Mana-mana pekerja yang bermasalah termasuk aspek kewangan perku dibantu. Sentiasa mengambil tahu apa masalah dihadapi pekerja.
“Dalam masa sama, pekerja juga jangan mengambil kesempatan terhadap keprihatinan majikan. Laksanakan kerja sebaiknya,” katanya kepada Media Selangor.
Sempena sambutan Hari Pekerja hari ini, Papparaidu menyarankan majikan memberi peluang kepada kakitangan untuk menyertai mana-mana kursus jangka pendek disediakan kerajaan.
Jelasnya usaha itu bukan hanya menggilap dan menambah kemahiran pekerja tetapi juga membantu syarikat untuk lebih berkembang maju.
“Kerajaan Negeri menawarkan pelbagai inisiatif latihan dan kursus jangka pendek. Kita harap majikan akan memanfaatkan peluang ini kerana akan memberi keuntungan kepada syarikat,” katanya.