SUBANG JAYA, 30 APRIL: Kedudukan ekskavator yang terbenam dalam insiden letupan saluran paip Petronas di Putra Heights, dekat sini 1 April lalu sudah dikenal pasti.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata jentera itu dikesan selepas kerja korekan menanam cerucuk dilakukan selain menggunakan alat radar penembus bumi serta maklumat pemiliknya.
“Kita dah tahu lokasi ekskavator, berada luar dari kawasan korekan paip. Kalau korek sekarang, ia akan ganggu kerja korekan tanah.
“Kita tak boleh korek sekali gus. Lepas siasatan di tempat paip selesai, baru boleh korek ekskavator dan akan buat kemudian,” katanya.
[caption id="attachment_699116" align="aligncenter" width="1248"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap kepada media ketika lawatan ke lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Terdahulu beliau membawa pengamal media melihat kesan insiden letupan berkenaan selain meninjau kerja mengorek saluran paip.
Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kejadian menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.
Pada 4 April, polis mengesahkan wujudnya kerja ekskavasi tanah kira-kira 30 meter dari lokasi kebakaran berkenaan.
[caption id="attachment_699114" align="aligncenter" width="1243"] Keadaan terkini di sekitar lokasi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]