SUBANG JAYA, 30 APRIL: Siasatan letupan saluran gas Petronas di Putra Heights, dekat sini sejak 1 April lalu menghampiri fasa akhir, dan dijangka selesai sepenuhnya minggu depan.
Bagaimanapun ketua polis Selangor berkata ia bergantung kepada kerja mengeluarkan baki paip kira-kira empat meter yang masih tertanam memandang keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
Jelas Datuk Hussein Omar Khan, setakat ini 16 meter spesimen paip sudah dikeluarkan dan analisas penuh akan dilaksana Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
[caption id="attachment_699095" align="aligncenter" width="809"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (tengah) bercakap kepada media pada lawatan ke lokasi letupan saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Proses ini akan dibantu Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) termasuk pemeriksaan material dan beberapa analisa lagi untuk tahu punca letupan.
“Untuk keluarkan paip, kita sudah korek 16 meter dari aras jalan. Kerja korek dan selesai sekarang potong untuk bawa keluar dalam seminggu lagi” katanya.
Terdahulu beliau membawa pengamal media untuk melihat kesan insiden letupan berkenaan selain meninjau kerja mengorek saluran paip.
Hussein berkata keadaan cuaca yang tidak mementu menyebabkan proses siasatan mengambil masa lama.
[caption id="attachment_699092" align="aligncenter" width="809"] Keadaan terkini di sekitar kawasan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya ketika lawatan media ke lokasi berkenaan pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Hampir 75 peratus daripada 29 hari operasi berjalan hujan. Ini lambatkan lagi kerja kerana kita perlu pam air keluar dari kawah.
“Lepas seminggu ini (selesai siasatan) tempat ini akan diserahkan kepada Petronas untuk mereka lakukan kerja pemulihan dan dijangka mengambil masa berbulan-bulan,” katanya
Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
[caption id="attachment_699090" align="aligncenter" width="812"] Keadaan terkini di sekitar kawasan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya ketika lawatan media ke lokasi berkenaan pada 30 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Kejadian menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.