Oleh Muhammad Haziq Roshidi
SHAH ALAM, 29 APRIL: Bermula sebagai hobi membina dron, OFO Tech kini menjadi antara syarikat teknologi tempatan yang memacu penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pembangunan bandar pintar dan pengurusan data.
Pengasasnya Armi Majid berkongsi bagaimana AI membantu meningkatkan kecekapan operasi selain membawa visi untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi bertaraf dunia.
[caption id="attachment_699039" align="aligncenter" width="791"] Pengasas OFO Tech Armi Majid ketika ditemu bual di Pejabat Media Selangor, Shah Alam pada 28 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
"Kami menekankan pembangunan menggunakan AI bagi menyelesaikan masalah dengan lebih pantas"
"Kita dapat mengenal pasti masalah yang berlaku dan bertindak secara lebih pantas seperti kerosakan jalan raya ataupun masalah-masalah di bandar boleh dikongsikan secara terus," katanya ketika ditemu bual Media Selangor baru-baru ini.
Beliau juga menjelaskan harapan syarikat OFO Tech untuk berada di barisan hadapan bagi memastikan Malaysia bersedia untuk menghadapi cabaran global.
"Kami berharap untuk menjadi 'Unicorn' di Malaysia kerana negara ini mempunyai bakat yang luas dan ekosistem yang sangat baik" katanya.
Kerajaan Negeri juga komited merealisasi inisiatif AI membabitkan pembangunan Pusat Inkubator AI dan Inisiatif AI Trailblazers dengan memperuntukkan RM5 juta dalam Belanjawan Negeri 2025.
Pentadbiran negeri juga akan mengemukakan kertas putih AI merangkumi usaha meningkatkan kecekapan khidmat kerajaan yang menyentuh kapasiti mengaudit dan menilai kaedah AI sebagai pelengkap komuniti pekerja.