ad
BERITA UTAMA

EXCO: Larangan pekerja asing di gerai MBDK masih peringkat percubaan

30 Apr 2025, 2:00 AM
EXCO: Larangan pekerja asing di gerai MBDK masih peringkat percubaan

OLEH CHUAH CHEE HWAI

SHAH ALAM, 30 APRIL: Larangan mengambil pekerja asing di pasar dan gerai bawah seliaan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) masih di peringkat percubaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata dasar itu tidak terpakai kepada restoran dan premis makanan persendirian.

“Ini masih percubaan. Kalau berjaya, kita akan pertimbang untuk laksana di PBT lain pula,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau menjelaskan larangan itu termasuk pekerja berstatus pemastautin tetap (PR) bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, Kerajaan Negeri menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung dominasi pekerja asing di pasar yang mencetuskan rasa tidak puas hati.

“Apabila rakyat tempatan terlibat, mutu makanan dan tahap keselamatan akan lebih terjamin. Malah, warisan kulinari negeri pun dapat dikekalkan,” katanya.

Menurut Suee Lim, larangan itu selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 2020 namun, pelaksanaannya bergantung kepada pertimbangan setiap PBT.

Mulai 1 Jun ini, hanya warganegara Malaysia dibenarkan bekerja di gerai atau kios bawah MBDK dan mereka perlu didaftarkan. Penyewa yang ingkar boleh dikenakan tindakan termasuk pembatalan lesen.

Kerajaan Negeri juga akan menilai semula keberkesanan dasar ini sepanjang tempoh percubaan dan membuat penambahbaikan jika perlu.

Dalam pada itu, Suee Lim turut memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang membenarkan pasangan rakyat Malaysia dan warga asing memohon permit kerja berdasarkan pengesahan sijil nikah yang sah.

Langkah itu dijangka mampu menambah peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan membantu menggerakkan ekonomi setempat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.